izawan@mediaprima.com.my
Kazan (Rusia): Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan pelaksanaan aturan perjalanan tanpa visa bagi pelancong Rusia ke Malaysia perlu disegerakan dalam usaha merancakkan semula sektor pelancongan negara.
Perdana Menteri berkata, Malaysia perlu berani mengetepikan amalan birokrasi lapuk dan tidak sepatutnya terlalu bimbang dengan sekatan sepihak (unilateral) yang dikenakan oleh negara-negara tertentu.
Beliau berkata, jurang perbezaan ketara apabila Rusia merekodkan lima juta pelancong setahun ke Turkiye dan dua juta ke Thailand.
Namun hanya sekitar 100,000 pelancong dari negara itu yang memilih Malaysia sebagai destinasi percutian.
“Ada lima juta pelancong (Rusia) setiap tahun ke Turkiye, dua juta ke Thailand.
“Itu dua negara yang dekat dengan kita. Tapi kenapa cuma 100,000 ke Malaysia?
“Isu penerbangan, isu pembayaran, bentuk pembayaran yang menjadikannya sangat sukar.
“Jadi kadangkala kita terlalu taksub dengan prosedur lama, yang kuno, dan terlalu bimbang bagaimana sesetengah negara lain akan bertindak balas atau memberi reaksi negatif.
“Sekarang, kenapa perkara ini berlaku (tetapi) tidak berlaku kepada Turkiye? Mereka adalah anggota NATO, dan mereka juga mempunyai hubungan yang baik dengan Eropah dan Amerika Syarikat.
“Thailand pula terus dapat mengekalkan hubungan yang baik. Kenapa perkara ini tidak berlaku (kepada Malaysia), dan kita pula tidak memberikan kemudahan yang sewajarnya kepada Rusia atau Iran, dalam hal ini,” katanya dalam sidang media penutup selepas lawatan kerja dua hari ke Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Rusia di sini, hari ini.
Beliau mempersoalkan kesukaran akses ke Malaysia sedangkan rangkaian penerbangan terus dari Rusia ke Thailand tersedia tanpa sebarang masalah.
“Kita adalah sebuah negara merdeka, dan kita bercakap tentang kepusatan (centrality) dalam ASEAN. Sudah tentu kita tahu sensitiviti itu.
“Kita tidak akan melanggar apa yang telah dinyatakan atau apa yang telah dipersetujui. Semestinya kita ada rasa hormat.
“Jika ia adalah sekatan antarabangsa yang diputuskan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), ya (kita patuh).
“Tetapi kita tidak sepatutnya terlalu bimbang terhadap sekatan unilateral (sepihak) yang dikenakan oleh sesetengah negara,” katanya.
Anwar berkata, bagi menyelesaikan kekangan itu, beliau sudah berbincang dengan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani serta Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir untuk menerajui tindakan drastik dalam mesyuarat Kabinet akan datang.
“Saya dah bawa perkara ini ke Kabinet beberapa tahun lalu tapi kita masih tersekat dengan hal ini.
“Jadi saya dah berbincang dengan Johari dan Akmal, mungkin kita akan ambil langkah awal dalam mesyuarat Kabinet akan datang untuk kita tengok dan jalan terus.
“Kita beri masa beberapa minggu dan selesaikan terus hal ini,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




