Prabowo tempelak dakwaan rakyat Indonesia malas, kuat tidur

Prabowo tempelak dakwaan rakyat Indonesia malas, kuat tidur

JAKARTA – Presiden Indonesia, Prabowo Subianto menempelak tanggapan segelintir pihak yang melabel rakyat negaranya sebagai malas dan gemar tidur, sambil menegaskan masyarakat Indonesia bekerja keras setiap hari demi menyara kehidupan.

Beliau berkata, persepsi negatif itu tidak menggambarkan realiti sebenar kerana rakyat di seluruh negara berhempas-pulas mencari rezeki dalam pelbagai sektor termasuk perikanan, pertanian dan perladangan.

“Memang ada pihak yang sentiasa memandang rendah bangsa Indonesia, memperlekeh dan mengejek kita di belakang.

“Mungkin kerana rakyat Indonesia terkenal dengan sifat ramah, mereka menganggap kita lemah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis pecah tanah Projek Strategik Nasional (PSN) Gas Asli Cecair (LNG) Abadi Blok Masela di Kabupaten Kepulauan Tanimbar, Maluku menerusi sidang video dari Istana Merdeka di Jakarta pada Khamis.

Menurut Prabowo, dakwaan bahawa rakyat Indonesia gemar berehat atau tidur adalah tidak adil kerana ramai yang memulakan kerja seawal sebelum subuh dan hanya pulang selepas matahari terbenam.

Beliau memberi contoh nelayan yang sanggup mempertaruhkan nyawa di laut demi mencari rezeki, selain petani dan pekebun yang bekerja sejak awal pagi.

Prabowo berkata, amalan berehat ketika cuaca terlalu panas pula merupakan kebijaksanaan yang diwarisi daripada nenek moyang bagi mengelakkan risiko kesihatan, bukannya tanda kemalasan.

“Ramai tidak melihat bahawa rakyat kita bangun seawal pagi untuk ke sawah, ke ladang, mencari air, kayu, memburu atau turun ke laut ketika masih gelap dan pulang semula apabila hari sudah malam,” katanya.

Dalam ucapan sama, beliau turut mengingatkan semua pihak supaya memastikan projek LNG Abadi Blok Masela dilaksanakan dengan sebaik-baiknya demi manfaat rakyat, sambil menegaskan kerajaan bertanggungjawab meningkatkan taraf hidup masyarakat yang masih berdepan kesukaran ekonomi. -Agensi

Scroll to Top