Saya masih perlukan bimbingan, ibu pengurus saya – Zaki Yamani

Saya masih perlukan bimbingan, ibu pengurus saya – Zaki Yamani

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Zaki Yamani menyelar dakwaan yang mendakwa ibunya, Fatimatuzahra Samat mengongkong kehidupan peribadi dan kerjaya seninya.

Menurut Zaki atau nama sebenarnya Ahmad Zaki Yamani Jamal Ubaidillah, 20, sebagai anak seni yang masih baharu dalam industri hiburan tanah air, dia masih memerlukan bimbingan daripada ibunya.

“Saya tidak bersetuju dengan dakwaan tersebut. Pada ketika ini, saya masih baharu dalam industri hiburan dan masih dalam proses mempelajari selok-belok dunia seni. Jadi, saya memerlukan seseorang untuk membimbing setiap langkah yang saya ambil. Ibu banyak membantu saya, khususnya dalam menguruskan persembahan dan perjalanan kerjaya saya.

“Ibu juga merupakan pengurus saya. Tanpa sokongan dan pengurusannya, saya tidak fikir saya berpeluang membuat persembahan di pentas-pentas besar seperti hari ini,” katanya.

Zaki berkata demikian ketika ditemui pada Sidang Media Hotlink Geng Bijak Berbelanja di Media Prima, Bangsar, hari ini.

Dalam masa sama, anak kepada penyanyi lagenda, Jamal Abdillah itu menyifatkan ibunya sebagai tempat rujukan utama setiap kali berdepan dengan perkara baharu yang belum pernah dilaluinya.

“Bukan setiap perkara saya perlu mendapatkan keizinan ibu. Namun, bagi perkara yang belum pernah saya lalui sebelum ini, seperti isu percintaan yang sedang diperkatakan ketika ini, saya akan mendapatkan pandangan dan nasihat daripada ibu.

“Saya tidak pernah mempunyai pengalaman berkawan rapat dengan perempuan sebelum ini. Sebab itu saya memerlukan nasihat ibu agar saya tahu bagaimana untuk membawa diri dengan baik, sama ada di atas pentas mahupun di media sosial, supaya tidak menimbulkan persepsi yang kurang baik,” jelasnya.

Bagaimanapun, Zaki mengakui terkilan apabila ibunya dikaitkan dengan dakwaan sedemikian sehingga menjejaskan nama baik wanita itu.

“Saya benar-benar terkilan kerana perkara tersebut telah mencalarkan nama baik ibu saya. Beliau telah banyak berkorban dan membantu saya. Tanpa sokongan serta doa beliau, saya tidak mungkin berada di tahap ini dan nama Zaki Yamani juga tidak akan dikenali seperti hari ini.

“Saya masih memerlukan nasihat seorang ibu kerana pada usia awal 20-an ini, seseorang itu mudah terdorong untuk memberontak. Sebab itu saya memerlukan sosok seorang ibu yang sentiasa membimbing dan menjaga saya,” ujarnya.

Zaki turut memaklumkan segala urusan berkaitan tawaran seni masih diuruskan sepenuhnya oleh ibunya.

“Ibu yang akan menguruskan setiap tawaran persembahan. Beliau hanya akan memaklumkan kepada saya sekiranya terdapat tawaran daripada mana-mana pihak.

“Tanggungjawab saya pula adalah memastikan diri sentiasa bersedia dan memberikan persembahan yang terbaik,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Zaki merupakan antara selebriti yang terlibat dalam Siri Travelog: Hotlink Geng Bijak Berbajet yang bakal mula bersiaran pada 29 Julai ini menerusi TV3.

Scroll to Top