PETALING JAYA: Parti Wawasan Negara (Wawasan) akan mengadakan perbincangan lanjut bersama kepimpinan Perikatan Nasional (PN) bagi memuktamadkan agihan kerusi yang akan ditandingi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan akan datang.
Presidennya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, Wawasan akan mengambil bahagian dalam PRN Negeri Sembilan selepas sebelum ini tidak bertanding pada PRN Johor atas tanggungjawab memastikan tidak berlaku perpecahan dalam kalangan parti komponen PN.
Beliau berkata, Wawasan telah diterima sebagai anggota PN dan sememangnya mempunyai peluang untuk menyertai pilihan raya akan datang.
“Saya nak maklumkan kita telah pun diterima oleh gabungan PN sebagai antara parti komponen. Jadi sebenarnya memang kita boleh (masuk bertanding).
“Cuma di Johor baru-baru ini kita fikirkan oleh kerana atas tanggungjawab kita untuk memastikan tidak ada perpecahan berlaku, maka sebab itu kita tidak masuk gelanggang di PRN Johor,” katanya ketika sidang akhbar selepas Mesyuarat Jawatankuasa Pusat Sulung Parti Wawasan Negara, di sini hari ini.
Menurut Hamzah, Wawasan akan menyertai PRN Negeri Sembilan dan perbincangan bersama kepimpinan PN akan dilakukan bagi menentukan beberapa perkara termasuk agihan kerusi, bendera yang akan digunakan serta pengarah pilihan raya.
“Insya-Allah PRN Negeri Sembilan nanti kita akan masuk gelanggang. Dan gelanggang kali ini adalah sesuatu yang mungkin berbeza dengan apa yang berlaku di Johor.
“Maka sebab itu hari ini kita bincang bagaimana kalau kita masuk gelanggang nanti atas bendera mana, bagaimana, siapa pengarah pilihan raya, semua ini kita bincang secara terperinci,” katanya.
Tambah beliau, pihaknya belum dapat mengesahkan jumlah kerusi yang bakal ditandingi sehingga pertemuan bersama parti-parti komponen PN diadakan.
“Kita akan berbincang dengan PN terutama dengan rakan-rakan komponen kita dan mereka akan memastikan beberapa tempat (kerusi) yang akan diberikan kepada kita.
“Melalui perbincangan tersebut, kami akan memastikan sejumlah kerusi diperuntukkan kepada parti kami. Cuma saya tidak boleh mengesahkannya lagi sehingga mesyuarat rasmi PN diadakan.
“Saya bukan seorang yang suka membuat pengumuman lebih awal sebelum sesuatu keputusan diterima dan diluluskan oleh jawatankuasa,” katanya. – UTUSAN




