am@hmetro.com.my
Batu Pahat: Pas mempunyai mekanisme tersendiri jika tidak dimasukkan dalam Perikatan Nasional (PN) untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) Sabah akan datang.
Ia susulan keputusan Gagasan Rakyat Sabah (GRS) tidak memasukkan parti itu bagi mengadakan rundingan menghadapi PRN akan datang.
Timbalan Presiden Pas Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, perbincangan di peringkat tertinggi PN perlu diadakan untuk melihat bagaimana mekanisme berdepan PRN kali ini.
“Biarlah mereka (GRS) berunding dahulu dan insya-Allah kita melalu PN pun ada mekanisme untuk mengadakan perbincangan.
“PN akan melihat dua perkara, yang pertama ialah gabungan dalam menghadapi PRN itu memandangkan Sabah agak unik berbanding negeri lain.
“Yang kedua, kita akan meletakkan kerusi yang diwakili PN,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan ceramah sempena sambutan Ulang Tahun Ke-70 Pas Johor di Kompleks PAS Sungai Tongkang, di sini, malam tadi.
Hadir sama, Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang, Naib Presiden Bersatu Datuk Dr Radzi Jidin dan Pesuruhjaya Pas Johor Abdullah Husin.
Semalam, GRS melalui Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Masidin Manjun berkata, gabungan itu tidak memasukkan Pas untuk rundingan kerjasama bagi menghadapi PRN Sabah kali ini.
Katanya, parti komponen PN itu buat masa ini tidak tersenarai dalam proses rundingan yang akan dibuat.
Ia mengambil kira kedudukan Pas dalam PN dan GRS menjadi sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan.
Selain itu, Tuan Ibrahim turut memaklumkan pihaknya belum membuat sebarang keputusan sama ada PN bergerak sendiri atau sebaliknya.
“Lagi pun kita dah ada Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (Pengerusi PN Sabah),” katanya.
Masidi sebelum ini ditugaskan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Rundingan Gagasan Rakyat bagi membincangkan agihan kerusi dalam kalangan parti komponen GRS dan rakan parti lain, termasuk Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).
Selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) November 2022, 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bersatu diketui Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor memutuskan keluar parti untuk kekal bersama GRS.
© New Straits Times Press (M) Bhd




