Program Jelapang Padi Darul Ehsan (JPDE) berjaya mencatatkan purata hasil tuaian padi sebanyak 7.5 metrik tan sehektar (MT/ha) bagi Musim 2/2025, sekali gus menyaksikan peningkatan kira-kira 70 peratus berbanding 4.4 MT/ha yang direkodkan bagi hasil tuaian padi di Negeri Selangor.
Pelaksanaan JPDE di bawah Kerajaan Negeri Selangor menerusi Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) mendapat sokongan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam usaha memperkukuhkan agenda sekuriti makanan negara dan memperkasakan sosioekonomi pesawah.
Sebagai sebahagian daripada Pelan Transformasi Agro Selangor, JPDE yang melibatkan tanaman berkeluasan 243 hektar juga merupakan antara projek perintis yang memberi nafas baharu kepada industri penanaman padi di negeri Selangor.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKPS, Datuk Wira Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi berkata, kejayaan ini membuktikan keberkesanan pendekatan yang lebih sistematik, merangkumi penggunaan teknologi moden, amalan pertanian lebih cekap, pengurusan ladang yang tersusun serta kerjasama erat antara agensi kerajaan, PKPS dan komuniti pesawah.
“Peningkatan hasil yang dicapai bukan sahaja memberikan pulangan ekonomi yang lebih baik kepada peserta program, malah turut memperkukuhkan agenda keselamatan makanan negeri dengan meningkatkan pengeluaran beras tempatan secara mampan.
“PKPS akan terus memperluaskan penggunaan teknologi pertanian pintar seperti dron dan jentera menanam padi, memperkukuhkan khidmat sokongan teknikal kepada pesawah serta menggalakkan amalan pertanian berimpak tinggi bagi memastikan produktiviti sawah terus dipertingkatkan,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Mohamad Khairil, pencapaian Program JPDE membuktikan pelaburan dalam teknologi, pemindahan ilmu dan pengurusan ladang yang sistematik mampu meningkatkan hasil pengeluaran secara signifikan sekali gus menyokong aspirasi Kerajaan Negeri Selangor untuk memperkukuhkan sekuriti makanan dan menjamin bekalan makanan yang mencukupi untuk rakyat.
Fasa pertama musim baharu bermula pada 4 Julai lalu dan dijangka membuahkan hasil menjelang awal Oktober akan datang.
Sehubungan itu, PKPS merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Selangor dan KPKM di atas sokongan dan kerjasama padu dalam merealisasikan program JPDE sehingga membuahkan kejayaan.
Pada masa sama, kejayaan ini turut mengukuhkan peranan PKPS sebagai peneraju pembangunan sektor agromakanan Selangor yang sentiasa komited memperkenalkan inisiatif berimpak tinggi demi kesejahteraan pesawah dan jaminan bekalan makanan negara.
Ujar beliau, JPDE bukan sekadar sebuah projek pertanian, ia simbol komitmen bersama dalam membina masa depan sekuriti makanan negara yang bermula dari sawah demi kesejahteraan rakyat.
“Di PKPS, kami percaya setiap butir padi yang dituai membawa sebuah cerita. Cerita tentang usaha yang tidak pernah mengenal lelah dan kisah kerjasama yang membuahkan kejayaan.
“Apa yang paling penting adalah cerita tentang bagaimana sebuah inisiatif Kerajaan Negeri Selangor melalui PKPS dengan kerjasama KPKM mampu mengubah potensi sawah menjadi harapan baharu untuk masa depan,” katanya.



