lokman.khairi@hmetro.com.my
Parit Buntar: Diuji kudung tangan kiri sejak lahir tidak mematahkan semangat lelaki ini membina kehidupan keluarganya melalui perniagaan pelbagai bidang.
Orang kurang upaya (OKU), Mohd Nazri Hussin, 48, dari Tanjung Piandang, di sini, berkata, minat berniaga mendorongnya memulakan perniagaan bengkel kereta pada 1999 sebelum menukar operasi kepada kedai perkakasan (hardware) yang masih diusahakan sehingga kini.
Bapa empat anak itu berkata, dia turut mencuba bidang ternakan ikan laut sangkar pada 2018 bagi menambah sumber pendapatan keluarga.
Katanya, pada 2022 beliau menghadiri temu duga bagi mendapatkan lot perniagaan di Pekan Kecil Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) Simpang Lima, di sini, dan berjaya memperoleh sebuah lot kedai.
“Pada peringkat awal, saya merancang membuka kedai menjual makanan laut sejuk beku, namun hasrat itu tidak dapat diteruskan apabila kos makanan ikan yang tinggi menjejaskan penghasilan ikan sangkar.
“Jadi, saya mengambil keputusan menukar perancangan dan membuka kedai makan yang beroperasi pada waktu petang hingga malam dengan menawarkan pelbagai hidangan bergoreng.
“Lokasi premis yang strategik berhampiran Hospital Parit Buntar baharu, taman perumahan dan beberapa pejabat kerajaan turut membantu menarik kehadiran pelanggan ke kedai,” katanya.
Mohd Nazri berkata, kadar sewa lot yang rendah disediakan PKNPk memberi kelegaan kepadanya untuk mengembangkan perniagaan tanpa menanggung beban kos operasi yang tinggi.
Katanya, perniagaan itu diusahakan bersama ahli keluarga terdekat selain turut membuka peluang pekerjaan kepada golongan muda.
“Sambutan menggalakkan daripada pelanggan membolehkan perniagaan saya terus berkembang sehingga berjaya membuka sebuah lagi restoran dikenali sebagai Restoran Kapten Alif, tahun lalu.
“Pada saya, inisiatif Pekan Kecil PKNPk sangat baik kerana menyediakan ekosistem ekonomi yang menyokong usahawan untuk memulakan dan mengembangkan perniagaan,” katanya.
Katanya, peluang yang diberikan PKNPk bukan sahaja membantu mengukuhkan perniagaan keluarga, malah meningkatkan taraf hidup mereka.
“Bagi saya PKNPk banyak membantu peniaga kecil seperti kami.
“Kalau dibandingkan dengan dulu, banyak perubahan berlaku dalam kehidupan kami.
“Alhamdulillah, sekarang perniagaan lebih stabil dan dapat membantu menyara keluarga dengan lebih baik,” katanya.
PKNPk adalah agensi utama kerajaan negeri yang dipertanggungjawabkan untuk memacu pertumbuhan ekonomi, memajukan sosioekonomi dan merangsang pelaburan di negeri selaras pelan Perak Sejahtera 2030 cetusan idea Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Melalui pembangunan Pekan Kecil PKNPk, kawasan yang sebelum ini kurang berkembang berpotensi menjadi pusat pertumbuhan baharu yang mampu merancakkan aktiviti ekonomi, sosial dan komuniti secara menyeluruh.
© New Straits Times Press (M) Bhd




