'Wiraku rumahku'

'Wiraku rumahku'

redzuan.muharam@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Sejak empat bulan lalu, pemuda ini tiada tempat tinggal tetap sebaliknya ‘berumah’ di dalam Proton Wira miliknya selepas nekad berhijrah ke ibu kota akhir Mac lalu.

Sepanjang tempoh itu, kereta terpakai itu yang menjadi peneman juga tempat Fadhullah Fiziria Shah Shahnun Azli, 25, atau Fizi berehat selain berteduh daripada hujan dan panas.

Barangan miliknya seperti pakaian, sabun mandian, bekalan beras dan periuk nasi disimpan di dalam but kereta.

Menceritakan pengalamannya, Fizi berkata, dia bukan enggan menyewa bilik, namun belum berkemampuan kerana masih berusaha bangkit selepas ‘jatuh terduduk’ berpunca daripada hasil jualan minyak wangi yang sebelum ini menjadi punca pendapatannya merosot.

Akibatnya, Fizi yang juga graduan asasi kejuruteraan tidak dapat membayar sewa bulanan rumah didiami hingga nekad keluar membawa diri dengan tinggal di dalam kereta.

“Tiga tahun lalu, saya berniaga dengan menjual minuman di satu kawasan di Manjung, Perak yang menjadi laluan orang pergi dan pulang dari kerja.

“Dua tahun juga buka gerai di situ, namun berhenti pada Oktober tahun lalu untuk fokus dengan jualan minyak wangi yang keuntungannya diperoleh daripada komisen.

“Ikutkan saya sudah berniaga sejak Februari tahun lalu dan awalnya tiada masalah tapi akhirnya perniagaan jatuh. Kesannya, saya terpaksa menanggung masalah membayar bil utiliti, sewa rumah dan hutang yang ada, jadi tiada pilihan melainkan keluar dari rumah sewa,” katanya.

Menurutnya, pada awalnya, dia ‘bermalam’ di ruang parkir di Hentian Simpang Pulai, Perak.

Selepas dua minggu, Fizi berhijrah ke ibu kota dan tiada hala tuju sebaliknya pergi merata tempat dengan lazimnya ke masjid di sekitar Lembah Klang.

Bagaimanapun, Fizi mengakui tidak semua individu menyenangi kehadirannya dan itu sebabnya dia berpindah di kawasan sekarang kerana lebih selesa walaupun berdepan cabaran apabila keretanya ditunda pihak berkuasa tempatan (PBT) beberapa hari lalu.

“Ikutkan, saya sudah biasa tidur dalam kereta sewaktu berniaga dulu kerana pernah ke festival di Kedah, Kelantan, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.

“Sekarang rasa lain kerana sudah berbulan lamanya tapi lama-kelamaan, saya dapat biasakan diri. Rutin harian sekarang adalah ke masjid atau stesen minyak berhampiran untuk tumpang mandi.

“Kemudian, saya akan ke restoran mamak untuk makan dan mengecas telefon bimbit juga pengecas mudah alih (power bank). Ada waktunya saya duduk di medan selera dalam pusat beli-belah berhampiran untuk buat kerja kerana sekarang cari duit dengan ambil upah ‘affiliate‘ (memasarkan dan mengiklankan produk di Internet),” katanya.

Kata Fizi, dia tidak pasti sampai bila akan ‘berumah’ dalam kereta namun kemungkinan mengambil masa setahun untuk mengumpul modal niaga menerusi pendapatan di media sosial.

Setakat ini, Fizi berkata, dia masih boleh mengharungi ujian itu dan selesa berusaha sendiri kerana engganmembebankan sesiapa.

“Ada masanya, saya tertanya dengan diri kenapa boleh ada di sini, tapi anggap apa yang berlaku sebagai perjalanan dalam hidup serta lumrah jatuh bangun dalam perniagaan.

“Sekarang waktu saya jatuh tapi satu hari nanti akan bangkit semula. Andai kata tak ada duit pun biarlah saya hadap sendiri kerana tak hubungi pun sesiapa untuk minta bantuan walaupun insan terdekat.

“Tapi ada kawan di universiti yang tahu dan mesej di media sosial. Selain mereka, ada juga yang menawarkan kerja dan minta hantar resume cuma saya dalam proses kemas kini.

“Sasaran saya adalah mulakan balik perniagaan, seterusnya bantu semula mereka yang berjasa dengan saya waktu susah selain berusaha meringankan beban insan memerlukan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top