SEREMBAN – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa beliau tidak pernah mencampuri krisis adat yang sedang berlaku di Negeri Sembilan serta urusan pentadbiran negeri.
Namun katanya, sebagai ketua negara, beliau perlu melakukan sesuatu supaya krisis yang berlaku tidak berterusan menjadi bahan perdebatan pelbagai pihak.
“Sekarang kita diheret bincang soal sistem Raja. Saya tahu di Negeri Sembilan, ada juga yang tidak setuju dengan keputusan saya. Saya tak campur, saya tak campur dalam urusan negeri.
“Tapi kita harus mentadbir negara. Ini bukan darurat. Kalau darurat, kerajaan akan ambil alih kerana ada pergaduhan atau pertelingkahan antara Yang di-Pertuan Besar (YDPB) dengan Undang Yang Empat,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan di sini pada Jumaat.
Beliau yang juga Presiden PH turut memaklumkan telah menghubungi Undang Yang Empat bagi mendapatkan maklumat mengenai krisis yang sedang berlaku, namun ia bukan bermaksud mencampurinya.
Tegasnya, beliau juga tidak pernah sesekali mempertikaikan Adat Perpatih dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS), tetapi sementara perkara tersebut masih belum dapat diselesaikan, semua pihak seharusnya menerima Menteri Besar dan YDPB sedia ada.
“Apakah saya tidak hubungi Undang Yang Empat? Saya ada hubungi… ada kita bincang… saya tidak pertikai Adat Perpatih ke, undang ke, luak ke? Saya tidak pertikai… itu perlembagaan negeri.
“Tapi sementara ini belum teratur, kita ada Menteri Besar dan YDPB. Kita kata sokong sistem raja, tapi kita bekerja nak gulingkan raja,” katanya.
Kata Anwar lagi, beliau secara peribadi tidak bersetuju sekiranya krisis yang berlaku diselesaikan tanpa mengikut peraturan dan perlembagaan.
Namun ujarnya, sekiranya terus dibiarkan, ia akan memberi kesan lebih buruk sehingga YDPB menjadi bahan pertikaian rakyat.
“Saya kata apa-apa perubahan, ikut peraturan dan perlembagaan. Tapi bayangkan apa nak jadi pada negara ini kalau kita daripada politik rakyat sampai raja kena jadi bahan pertikaian.
“Saya tegaskan semula, saya tiada ruang untuk mengganggu gugat sistem yang ada. Tetapi apa-apa perubahan yang diputuskan oleh Kerajaan Persekutuan, ia mengikut undang-undang yang ada, bukan saya putuskan. Peguam Negara ada… maka kita akur dan patuh serta taat kepada YDPB sebagai Raja Berperlembagaan negara,” katanya.
Dalam pada itu beliau berkata, hubungan baik serta keselarasan antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan amat penting bagi memastikan pembangunan dan kebajikan rakyat dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
“Kalau Tok Min (Datuk Seri Aminuddin Harun) tidak dapat buat, saya boleh bantu. Kalau mahu Negeri Sembilan terus selamat dan membangun, pastikan kerajaan negeri sealiran dengan Kerajaan Persekutuan.
“Jika mandat diberikan kepada PH, Tok Min sekali lagi diamanahkan sebagai Menteri Besar, insya-ALLAH masa depan Negeri Sembilan akan terjamin,” katanya.



