Selangor menang tipis di Kota Bharu

Selangor menang tipis di Kota Bharu

sukan@hmetro.com.my

Kota Bharu: Hasrat Selangor FC meneruskan kemaraan pada saingan Piala Malaysia tercapai meskipun menang tipis 2-1 ke atas Kelantan The Real Warriors FC (Kelantan TRW) pada perlawanan pusingan 16 Piala Malaysia di Stadium Sultan Muhammad IV Kota Bharu, di sini, malam tadi.

Terdahulu, seawal tiga minit sepak mula, pelawat hampir membuka jaringan namun bola sekadar melintasi tepi tiang gol.

Berselang dua minit, import Kelantan, Alexandre Primael Yeoule berjaya memintas gerakan Faisal Halim menafikan gol buat Selangor.

Kelantan TRW mencipta kejutan di minit ke 25 apabila Simen Alexander Lyngbo bijak menyudahkan hantaran menarik Muhamad Syafiq Ismail yang melintang bola ke tengah untuk Kelantan mendahului 1-0.

Memasuki babak kedua,Kelantan membuat pertukaran dengan mengeluarkan Muhamad Syafiq Ismail dan memasukkan Muhamad Farris Izdiham Awang Kechik minit ke 55.

Selangor turut membuat pertukaran dengan mengeluarkan Muhamad Syahir Bashah dan memasukkan Alif Haiqal Lokman Hakim Lau.

Kapten Selangor, Faisal Halim akhirnya menyamakan kedudukan dengan jaringan di minit ke 60.

Tujuh minit kemudian, Damyan Valeriy Damyanov berjaya menyelamatkan tandukan Chrigor Flores Moraes untuk kedudukan kekal 1-1.

Faisal Halim sekali lagi menjadi duri dalam daging apabila rembatan voli pada masa kecederaan menyaksikan anak buah Kim Pan-gon meraih kemenangan 2-1 untuk bekal tipis aksi timbal balik, Jumaat ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top