suharmin.yusuf@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Aset bernilai kira-kira RM4 juta dipercayai milik seorang pendakwah bebas disita Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), susulan siasatan berhubung penyelewengan dana sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) miliknya.
Menurut sumber, operasi sitaan hari ini melibatkan wang tunai dalam beberapa mata wang termasuk Riyal 7,325, RM152,155 serta SGD27,134.
Selain itu, SPRM turut merampas perhiasan emas yang dianggarkan bernilai kira-kira RM2 juta.
“Hari ini SPRM Negeri Sembilan telah melakukan sitaan terbaharu dan selain ada pertambahan sitaan untuk duit mata wang asing dan tempatan, kami turut menyita pelbagai perhiasan emas bernilai kira-kira RM2 juta.
“Sehubungan itu nilai sitaan semalam dan hari ini berjumlah kira-kira RM4 juta,” katanya.
Sumber berkata, siasatan awal mendapati dua ahli jawatankuasa yang dipercayai bersubahat dengan pendakwah bebas itu adalah isterinya sendiri yang juga bertindak sebagai bendahari NGO berkenaan serta seorang lagi setiausaha.
Kata sumber, siasatan turut mendapati dana yang dipercayai dipindahkan ke akaun bank milik pendakwah bebas itu serta lapan akaun bank syarikat yang turut dimilikinya dilakukan tanpa pengetahuan ahli jawatankuasa lain.
Sementara itu, Pengarah SPRM Negeri Sembilan, Awgkok Ahmad Taufik Putra Awg Ismail ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut dan berkata, ia membabitkan lapan syarikat milik pendakwah itu.
Katanya, antara syarikat itu termasuk syarikat percetakan, penerbitan, jualan buku, pemasaran, penjualan produk, pengurusan sumber manusia dan pengurusan duta produk.
Terdahulu Harian Metro melaporkan, pendakwah bebas ditahan kerana disyaki menyalah guna kuasa dan menyeleweng dana sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ditempatnya bekerja berjumlah kira-kira RM12.3 juta untuk kepentingan peribadi.
Perintah reman selama lima hari sehingga 26 April 2026 terhadap suspek dikeluarkan Majistret Sara Afiqah Zulkifli selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Seremban, semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.
© New Straits Times Press (M) Bhd




