norhayati_nordin@hmetro.com.my
Walaupun masih bujang, Qi Razali, 47, tiada masalah melakonkan watak bapa kerana dia mengambil inspirasi daripada perwatakan bapanya, Allahyarham Muhammad Razali Abdullah.
Menurut pemilik nama sebenar Qushairi Mohammed Razali ini, bapanya adalah idola dan rujukan dalam kehidupannya apabila banyak memberi contoh yang baik menerusi sikap.
“Arwah bapa sangat penyabar. Dia tak pernah tengking, marah dan pukul saya kecuali kesalahan dibuat itu besar seperti menipu. Tapi, saya pernah buat juga (tipu bapa).
“Biasalah, masa umur muda dan tengah ramai kawan. Ada banyak benda juga nak dicuba seperti keluar dengan kawan-kawan. Namun, tak selalunya mendapat kebenaran (daripada bapa).
“Jadi, saya pernah tipu arwah ayah nak pergi Port Dickson dengan kawan-kawan. Apapun, semua itu sudah jadi kenangan saya yang tidak akan dilupakan,” katanya.
Qi yang akan muncul dengan filem Babah di pawagam bulan depan berkata, dia bersyukur mendapat kasih sayang berharga daripada bapanya yang disifatkan lelaki terbaik.
“Selain bapa sebagai rujukan, kasih sayang terhadap kucing yang saya bela juga banyak membantu memupuk rasa tanggungjawab. Umpama, kalau nak tinggalkan sekejap pun (kucing) kena banyak fikir.
“Macam-macamlah fikir mengenai pemakanannya, pembuangan, sakit ke, semua nak difikir. Jadi, bela kucing pun rasa sayangnya dah macam itu, inikan pula anak. Kasih sayangnya gandakan kepada seratus,” katanya.
Berbicara juga watak bapa berstatus orang kelainan upaya (OKU) pendengaran dan bisu yang dilakonkan, Qi berkata, watak Ishak itu sangat mencabar dirinya kerana perlu mahir menggunakan bahasa isyarat.
“Saya perlu mengikuti sesi pembelajaran bahasa isyarat dalam tempoh boleh dikatakan agak singkat dengan guru yang disediakan. Mula-mula belajar, memang rasa susah juga.
“Tapi, bila hari-hari berlatih dan dipraktikkan dalam kehidupan, lama-lama jadi mahir. Malah, di lokasi penggambaran juga ada guru memantau. Kalau ada yang tidak betul dibuat, mereka terus tegur,” katanya.
Menurut Qi, dia juga sangat gembira sepanjang bekerja di set penggambaran filem Babah walaupun barisan pelakon dipilih itu baru kali pertama digandingkan dengannya seperti Cristina Suzanne, Sweet Qismina dan Adam Lee.
“Alhamdulillah, kami semua saling membantu menjayakan watak masing-masing dengan sebaiknya. Tidak sukar untuk kami mewujudkan ‘chemistry’ dan semuanya berjalan lancar.
“Harapan saya semoga filem Babah akan mendapat sambutan baik di pawagam nanti. Karya ini mengisahkan kekeluargaan dan kasih sayang ibu bapa terhadap anaknya. Saya yakin ia dekat dengan kita semua,” katanya.
Filem Babah arahan Mohd Shah Faizul Ibrahim akan membuatkan penonton berlinangan air mata melihat betapa besar pengorbanan bapa terhadap anak perempuannya yang berhadapan ujian kehidupan.
Hidup lengkap lepas kahwin
Pernah beberapa kali putus cinta, Qi sama sekali tidak menutup pintu hati untuk menerima ‘kasih’ baharu.
Baginya, jodoh itu rezeki istimewa daripada Allah yang wajar kita hargai.
Qi yang juga bekas pemain dram kumpulan OAG ini berkata, pada usianya yang melewati 40-an sekarang adalah fasa disifatkan cukup sesuai untuk menamatkan zaman solo dengan berumah tangga.
“Kalau ada perkara di luar sana yang ingin saya cari adalah melengkapi kehidupan sebagai seorang insan. Untuk itu, saya kena berkahwinlah.
“Menggalas tanggungjawab seorang suami dan baba (ayah) kepada anak-anak. Barulah boleh tinggalkan legasi apabila sudah tiada nanti sebab anak itu akan bawa nama kita,” katanya.
Qi berkata, dia bercadang melangsungkan majlis perkahwinannya dan calon isteri pada Mei tahun depan, namun banyak persiapan perlu diuruskan dulu.
Pada Aidilfitri lalu, Qi mengakui dia sudah merisik kekasihnya yang berusia 28 tahun, bekerja di belakang tabir dan mereka sudah berteman rapat kira-kira dua tahun lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd
