Siti impikan anak lelaki

Share on facebook
Share on twitter
Share on email
Share on whatsapp

Kuala Lumpur: Pengalaman membuat liputan aktiviti berbasikal Anniversary Ride bersama pasukan CTDK Cycling Team sempena meraikan ulang tahun perkahwinan penyanyi tersohor Datuk Seri Siti Nurhaliza dan suami sekitar Ogos lalu masih berbekas dalam ingatan penulis.

Memandu dari ibu kota tepat pukul 9 pagi dengan perjalanan yang boleh dikatakan cukup mencabar kerana perlu menempuh jalan berliku dan berbukit selama dua jam sebelum selamat sampai ke puncak Bukit Fraser, Pahang.

Semasa menemu bual penyanyi bersuara bersuara merdu itu, hati penulis sebenarnya cukup berdebar bersulam teruja, maklumlah sebelum itu, sudah timbul desas-desus mengatakan beliau akan mula berehat bagi menumpukan perhatian terhadap ‘sesuatu’.

Sewaktu menemu bualnya, Siti yang memaklumkan beliau tetap bekerja seperti biasa. Bagaimanapun, peminat sendiri dapat melihat rentak karier penyanyi itu sedikit perlahan sejak beberapa bulan lalu.

Sehinggalah pada sekitar September lalu, nama Siti menjadi buah mulut gara-gara reaksi spontan puteri sulungnya, Siti Aafiyah yang mengucapkan perkataan ‘baby’ sebelum mencium perutnya ketika beliau bersiaran langsung dalam Instagram.

Sejak dari momen ‘comel’ tersebut, peminat memulakan episod berteka-teki, adakah benar pelantun yang bukan sahaja disayangi di Malaysia bahkan banyak negara jiran seperti Indonesia, Singapura dan Brunei itu sedang hamil.

Satu persatu persoalan bersiri ditimbulkan peminat yang mula mengambil alih posisi sebagai penyiasat handalan bagi membuktikan penyanyi kesayangan mereka bakal menimang cahaya mata kedua.

Sepanjang dua minggu lalu juga, muncul beberapa kisah tular berhubung perkara serupa apabila sebuah video dimuat naik Siti dalam InstaStorynya mencuri perhatian.

Hal ini kerana, ada mata yang dapat menangkap perubahan bahagian perut Siti yang kelihatan seperti ada baby bump.

Menamatkan desas-desus yang bertebaran kencang sejak dua minggu lalu dan enggan lagi membiarkan peminat berteka-teki, Siti akhirnya mengakui bahawa beliau sedang hamil lebih empat bulan.

Pengumuman istimewa yang dinantikan semua peminat berkenaan dibuat ketika beliau muncul dalam majlis pelancaran jalinan kerjasama produk terbaharu keluarannya, Beausiti X Wonderlab yang berlangsung secara maya pada Selasa lalu.

Ramai yang membuat andaian tentang kehamilan saya sebelum ini. Hari ini adalah waktu yang sesuai untuk dikongsikan bersama peminat.

Alhamdulillah, saya dan suami mahu berkongsi kepada anda semua bahawa memang benar saya sedang hamil anak kedua, ujarnya bernada ceria di samping suami tercinta, Datuk Seri Khalid Muhammad Jiwa (Datuk K) yang turut hadir pada acara berkenaan. Sumber: Kosmo

Malay News, Glamour Desk