SK Tampulan menang anugerah berprestij di Korea Selatan

SK Tampulan menang anugerah berprestij di Korea Selatan

am@hmetro.com.my

Kota Kinabalu: Sekolah Kebangsaan (SK) Tampulan, Telipok di sini, melakar sejarah apabila filem pendek Warriors of Independence dinobatkan sebagai pemenang Magic Film Award 12 pada 21st Busan International Kids & Youth Film Festival (BIKY) 2026 yang berlangsung di Busan Cinema Center, Korea Selatan, dari 8 hingga 14 Julai lalu.

Guru Besar SK Tampulan, Zaliha Ismenyah berkata, kejayaan itu membuktikan murid sekolah luar bandar juga mampu bersaing dan menyerlah di pentas antarabangsa.

Beliau menyifatkan pencapaian berkenaan sebagai satu kebanggaan bukan sahaja kepada sekolah, malah kepada Sabah dan Malaysia.

“Dari Telipok ke Busan, dari bilik darjah ke layar antarabangsa. Ini bukti kemenjadian murid Malaysia MADANI.

“Tahniah kepada Nur Zahra Aisyah dan seluruh pasukan produksi Warriors of Independence,” katanya ditemui di SK Tampulan.

Anugerah berprestij itu diberikan kepada filem yang berjaya memukau penonton menerusi imaginasi dan penceritaan kreatif sehingga meninggalkan impak yang mendalam melebihi realiti.

Kejayaan itu diraih pengarah muda, Nur Zahra Aisyah, murid SK Tampulan Telipok, di bawah bimbingan guru pembimbing, Iroet Marteni, yang terkenal menjadikan penghasilan filem sebagai medium pendidikan kreatif.

BIKY 2026 mencatat penyertaan terbesar dalam sejarah festival itu dengan menghimpunkan 181 filem dari 41 negara.

Kemenangan ini turut meletakkan Malaysia sebaris dengan negara-negara yang aktif dalam pembangunan filem kanak-kanak di peringkat antarabangsa.

Pencapaian itu juga mengulangi kejayaan SK Tampulan yang pernah muncul sebagai finalis BIKY 2019 menerusi filem Solunsug, selain menghasilkan fenomena viral Tuhau VS Zombie yang meraih lebih 20 juta tontonan.

Kemenangan Magic Film Award 12 bukan sahaja mengharumkan nama SK Tampulan dan Kota Kinabalu, malah turut mengangkat nama Sabah serta Malaysia di persada dunia.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top