Sokongan ‘en bloc’ Pas kukuhkan kedudukan Hamzah sebagai Ketua Pembangkang – Ronald Kiandee

Sokongan ‘en bloc’ Pas kukuhkan kedudukan Hamzah sebagai Ketua Pembangkang – Ronald Kiandee

 

SHAH ALAM – Kedudukan Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin sebagai Ketua Pembangkang kekal utuh selepas mendapat sokongan majoriti secara kolektif yang jelas dari blok ahli Parlimen pembangkang.

Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, pelantikan itu bertambah kukuh apabila Pas turut mengumumkan sokongan tidak berbelah bahagi terhadap Hamzah seperti diumumkan Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang baru-baru ini.

Menurut bekas Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu, sokongan kolektif daripada ahli Parlimen Pas bukan sekadar pendirian politik, malah merupakan langkah memperkukuh struktur semak dan imbang Parlimen berteraskan amalan demokrasi.

“⁠Berdasarkan sistem Westminster dan konvensyen Negara-Negara Commonwealth serta situasi penjajaran politik ketika ini, pelantikan jawatan ini bersandarkan kepada jumlah sokongan ahli-ahli Parlimen secara majoriti yang tidak terikat oleh keputusan dalaman sesebuah parti politik semata-mata.

“Dalam situasi hubungan antara Pas dan Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN) hari ini, kedudukan Ketua Pembangkang pada hari ini wajar ditentukan oleh ahli-ahli Parlimen pembangkang.

“Asas perundangan ini termaktub jelas di bawah Peraturan 4A (3) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat yang menetapkan bahawa seseorang itu menjadi Ketua Pembangkang kerana beliau memimpin “Kumpulan Pihak Pembangkang” (keseluruhan blok), bukannya atas dasar hierarki mahupun keahlian dalam sebuah parti politik,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Sebelum ini, Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) baharu dilantik sebagai Ketua Pembangkang selepas Hamzah dipecat daripada Bersatu.

Bagaimanapun, Abdul Hadi di Konvensyen Reset Pembangkang yang berlangsung di Kelantan pada Sabtu lalu mengumumkan Hamzah kembali dlantik semula memegang jawatan itu selepas mendapat persetujuan ramai.

Pelantikan Hamzah tersebut telah mengundang kritikan kerana Ahmad Samsuri dilihat seolah-olah ‘dipecat’ sebelum memulakan tugas.

Mengulas lanjut, Ronald berkata, berdasarkan Peraturan 4A(4) juga, Yang di-Pertua Dewan Rakyat mempunyai kuasa untuk mengesahkan dan menentukan ahli Parlimen yang mendapat sokongan majoriti dalam kalangan ahli Parlimen pembangkang secara muktamad dan konklusif.

Justeru katanya, memandangkan Hamzah terus mendapat kepercayaan majoriti jelas ahli Parlimen daripada Pas secara en-bloc dan Bersatu secara majoriti, kedudukan beliau adalah utuh dan tidak boleh diganggu gugat oleh mana-mana ketetapan dalaman parti.

 

 

Scroll to Top