SOKONGAN dan kasih sayang bekas penaung Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Tun Dr Hasmah Mohd Ali, terhadap sukan badminton Malaysia akan sentiasa diingati dan disanjung tinggi oleh seluruh warga badminton negara.
BAM dalam satu kenyataan hari ini merakamkan ucapan takziah kepada keluarga isteri kepada bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, susulan pemergian Allahyarham, pagi ini.
“Presiden BAM Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz bersama-sama Ahli Majlis BAM, pihak pengurusan, barisan jurulatih, pemain dan kakitangan, merakamkan ucapan takziah yang tulus ikhlas kepada keluarga Tun Dr Hasmah dan yang tersayang dalam menghadapi waktu sukar ini.
“Semoga Allah SWT mencucuri rahmat dan berkat ke atas roh Allahyarham, serta menempatkan beliau dalam kalangan orang-orang yang soleh. Semoga keluarganya dikurniakan kekuatan dan kesabaran dalam menghadapi saat-saat duka ini,” menurut kenyataan itu.
Dr Hasmah berkhidmat sebagai Penaung BAM selama lebih dua dekad sehingga tahun 2007, termasuklah sewaktu kejayaan bersejarah Malaysia menjulang Piala Thomas selepas menewaskan musuh tradisi Indonesia, 3-2 pada edisi 1992 di Stadium Negara, di sini.
Terdahulu, Dr Siti Hasmah disahkan telah meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pagi ini pada usia 100 tahun.- Bernama



