am@hmetro.com.my
Alor Setar: Anak seorang pemandu lori dari Kampung Tanjung Sena, Mukim Tunjang, Jitra, mengharumkan nama Kedah apabila dipilih sebagai penerima Anugerah Pelajar Terbaik Kebangsaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2025 bagi Kategori Aliran Sains Sosial.
Nurul Danish Farhana Mohd Fauzi, 20, yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jitra, dipilih menerima anugerah berprestij itu oleh Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) di Kuala Lumpur hari ini.
Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah, Ishak Awang berkata, kejayaan cemerlang itu seiring dengan prestasi keseluruhan negeri yang menunjukkan peningkatan sangat memberangsangkan.
“Seorang calon iaitu Nurul Danish Farhana Mohd Fauzi dari SMK Jitra telah dipilih untuk menerima Anugerah Pelajar Terbaik Kebangsaan STPM 2025 bagi Kategori Aliran Sains Sosial.
“Kejayaan ini sekali gus mengharumkan nama Kedah di peringkat kebangsaan,” katanya pada sidang media pengumuman keputusan STPM 2025 di sini, hari ini.
Sementara itu, Ishak berkata Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) negeri meningkat kepada 2.97 berbanding 2.89 pada tahun lalu sekali gus menjadi pencapaian tertinggi sejak pelaksanaan peperiksaan STPM.
“Seramai 97 calon atau 3.97 peratus memperoleh PNGK 4.00 dalam STPM 2025 berbanding 98 calon atau 3.51 peratus pada tahun 2024.
“Ini menunjukkan peningkatan sebanyak 0.46 peratus dari segi peratusan calon yang memperoleh PNGK sempurna,” katanya.
Beliau berkata, daripada 2,619 calon sekolah kerajaan yang mendaftar, seramai 2,442 calon atau 93.24 peratus hadir menduduki peperiksaan pada ketiga-tiga semester.
Katanya, sebanyak 2,425 calon atau 99.30 peratus memperoleh lulus penuh, meningkat berbanding 98.78 peratus pada tahun sebelumnya.
“Sebanyak 40 daripada 52 pusat peperiksaan di Kedah berjaya mencapai 100 peratus lulus penuh.
“Semua 2,442 calon yang hadir juga layak dianugerahkan Sijil STPM 2025,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Ishak berkata empat institusi pendidikan dari Kedah turut menerima pengiktirafan kebangsaan daripada MPM.
Katanya dua daripadanya ialah Kolej Tingkatan Enam Sultan Sallehuddin, Alor Setar dan Kolej Tingkatan Enam Kulim yang menerima Anugerah Pusat Tingkatan Enam Terbaik Kebangsaan STPM 2025 bagi kategori Kolej Tingkatan Enam.
“Manakala SMK Kubor Panjang, Alor Setar dan SMK Chio Min (CF), Kulim menerima Anugerah Pusat Tingkatan Enam Terbaik Kebangsaan STPM 2025 bagi kategori Mod 2 dan Mod 3,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




