STPM 2025: 18 pelajar terbaik terima tajaan yuran pengajian – Fadhlina

STPM 2025: 18 pelajar terbaik terima tajaan yuran pengajian – Fadhlina

Seramai 18 pelajar terbaik Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2025 bakal menikmati tajaan penuh yuran pengajian peringkat ijazah sarjana muda di universiti awam.

Menurut laporan Utusan, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, inisiatif yang diperkenalkan buat julung kali itu melibatkan kohort STPM 2025, dengan setiap universiti awam menawarkan biasiswa yuran pengajian kepada pelajar yang memperoleh keputusan terbaik dalam peperiksaan berkenaan.

Foto: Utusan

Beliau berkata, usaha tersebut membuktikan kesungguhan kerajaan untuk terus memperkukuh laluan pendidikan Tingkatan Enam di samping memastikan pelajar cemerlang mendapat peluang melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi tanpa dibebani soal kewangan.

“Bermula dengan kohort STPM 2025, setiap universiti awam akan menawarkan biasiswa yuran pengajian Ijazah Sarjana Muda kepada pelajar terbaik STPM 2025.
“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua universiti awam atas ikhtiar ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Anugerah Pelajar Terbaik STPM, MUET dan Sijil Kecekapan Bahasa Melayu bagi Warganegara Asing (SKBMW) Tahun 2025 di Selayang hari ini.

Pada majlis itu, seramai 57 pelajar menerima Anugerah Pelajar Terbaik STPM, termasuk penerima bagi peperiksaan MUET dan SKBMW, sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian akademik cemerlang mereka.

Menurut Fadhlina, kerajaan percaya pelajar Tingkatan Enam memiliki potensi besar untuk berjaya serta berupaya menjadi modal insan berkualiti yang menyumbang kepada pembangunan negara pada masa depan.

Foto: Janaan AI

Beliau berkata, menjadi tanggungjawab kerajaan untuk menyediakan peluang, sokongan dan persekitaran terbaik agar golongan itu dapat mengembangkan bakat serta keupayaan masing-masing demi kesejahteraan diri, keluarga dan negara.

Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan bahawa STPM terus mengekalkan reputasinya sebagai kelayakan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa apabila diterima oleh lebih 2,000 universiti di seluruh dunia.

Malah, katanya, sijil STPM turut mendapat pengiktirafan daripada Cambridge University Press and Assessment, United Kingdom, yang dicatatkan secara rasmi pada sijil berkenaan.

“Pencapaian STPM 2025 turut menunjukkan peningkatan apabila Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) nasional meningkat kepada 2.88 berbanding 2.85 pada tahun sebelumnya.
“Kejayaan ini membuktikan kesungguhan pelajar, guru serta ibu bapa yang sentiasa memberikan sokongan dalam memastikan kecemerlangan pendidikan negara terus dipertingkatkan,” ujarnya.

Sumber: Utusan (Amirul Aiman Osman & Wafa Wajihah Ahmad)

Scroll to Top