Dua tekong muda tunggu peluang

Dua tekong muda tunggu peluang

sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Dua tekong muda, Zuhri Zin dan Muhammad Fahmi Khalid bakal diserapkan ke dalam skuad utama negara sekiranya Syahir Rosdi dan Zulkifli Abdul Razak tidak dapat pulih serta berada pada prestasi terbaik menjelang Sukan Asia Aichi-Nagoya pada September depan.

Ketua jurulatih sepak takraw negara, Ahmad Jais Baharun berkata, sebab kedua-dua pemain itu dipilih kerana mereka berada dalam program kebangsaan dan secara tidak langsung turut menjalani latihan intensif seperti pemain utama berbanding memanggil pemain baharu.

Katanya, kedua-dua pemain itu sentiasa mengikuti program latihan skuad kebangsaan dan sudah biasa beraksi bersama pemain lain, sekali gus memudahkan proses penggantian pada saat akhir.

“Jika berlaku perkara yang tidak diingini dan pemain yang mengalami kecederaan tidak sempat pulih, kita sudah mempunyai pemain yang bersedia untuk menggantikan mereka iaitu Zuhri dan Fahmi.

“Mereka berada dalam program kebangsaan dan sentiasa bersama pasukan. Jadi tidak timbul isu keserasian atau masalah untuk menyesuaikan diri dengan corak latihan dan permainan pasukan,” katanya.

Selain itu, Ahmad Jais melihat tumpuan lebih diberikan kepada pemain yang berada dalam program kebangsaan kerana selain tahap kecergasan yang sentiasa dipantau, mereka juga lebih memahami sistem latihan serta tuntutan taktikal pasukan berbanding pemain baharu yang memerlukan masa untuk menyesuaikan diri.

“Kita ada enam tekong dalam program. Kalau mahu mengambil pemain dari luar, banyak perkara perlu dinilai termasuk kemahiran, kemampuan dan prestasi semasa. Jadi fokus kita adalah kepada pemain dalam program kerana mereka sudah mengikuti latihan sejak awal dan memahami apa yang diperlukan oleh pasukan,” katanya.

Untuk makluman, Syahir mengalami koyakan otot sepanjang lapan sentimeter dengan lebar tiga sentimeter yang memerlukan tempoh pemulihan rapi bersama pasukan perubatan Institut Sukan Negara (ISN) dan perlu berehat selama enam hingga lapan minggu.

Sementara itu, Zulkifli atau lebih dikenali sebagai Sobey pula mengalami ketegangan otot dan perlu berehat hampir sebulan.

Justeru, selain dua pemain itu, semua pemain yang mengalami kecederaan kini berada di bawah pemantauan rapi ISN dan hanya akan kembali menyertai latihan penuh selepas mendapat lampu hijau daripada pasukan perubatan.

Tambah Ahmad Jais, pemain yang sedang menjalani proses pemulihan tidak hanya menjalani rawatan semata-mata, sebaliknya turut mengikuti program khas termasuk latihan kekuatan otot, latihan gimnasium, larian dan kawalan bola bagi memastikan tahap kecergasan mereka terus terpelihara.

Fokus utama ketika ini adalah memastikan semua pemain yang cedera dapat kembali menyertai pasukan mengikut tempoh yang ditetapkan bagi membolehkan mereka menjalani persiapan terbaik menjelang Sukan Asia 2026.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top