Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, tidak memperkenankan mana-mana surau atau musolla di pusat beli-belah di negeri itu diberikan kebenaran untuk mendirikan solat Jumaat.
Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Salehuddin Saidin berkata, ketetapan itu dibuat selaras kuasa prerogatif baginda sebagai Ketua Agama Islam Selangor dalam menentukan hal ehwal pentadbiran agama Islam, termasuk pemberian kebenaran mendirikan solat Jumaat di surau atau musolla.
Menurutnya, walaupun MAIS menyambut baik cadangan Kerajaan Persekutuan untuk mewujudkan surau solat Jumaat di pusat beli-belah di seluruh negara, pelaksanaannya di Selangor tetap tertakluk kepada peruntukan undang-undang negeri.
“MAIS mengambil maklum pendirian Kerajaan Persekutuan melalui kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berhubung cadangan mewujudkan surau solat Jumaat di pusat beli-belah di seluruh negara.

“Bagaimanapun, penubuhan masjid dan surau serta penggunaan mana-mana bangunan sebagai masjid, surau atau musolla tertakluk kepada kebenaran bertulis MAIS mengikut Seksyen 97 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003.
“Sehubungan itu, MAIS dimaklumkan bahawa buat masa ini baginda Sultan tidak memberi perkenan untuk mana-mana surau atau musolla di pusat beli-belah di Selangor diberi kebenaran mendirikan solat Jumaat,” jelasnya dalam kenyataan hari ini.
Salehuddin menjelaskan, keputusan berkenaan dibuat selepas mengambil kira beberapa pertimbangan, termasuk usaha memperkukuhkan fungsi masjid sebagai pusat ibadah utama umat Islam.

Beliau berkata, kebenaran mendirikan solat Jumaat di surau atau musolla pusat beli-belah dikhuatiri boleh menjejaskan usaha memakmurkan serta mengimarahkan masjid sedia ada.
“Keadaan itu boleh menyebabkan jumlah jemaah di masjid dan surau solat Jumaat sedia ada berkurangan kerana umat Islam mempunyai pilihan untuk menunaikan solat Jumaat di surau atau musolla di pusat beli-belah.
“Ketika ini terdapat 448 masjid dan 379 surau yang diberikan kebenaran mendirikan solat Jumaat di Selangor.
“Jumlah itu menunjukkan kemudahan sedia ada mencukupi dan mampu menampung keperluan umat Islam di negeri ini. Selain itu, terdapat juga masjid dan surau yang terletak berhampiran pusat beli-belah bagi memudahkan orang ramai menunaikan solat Jumaat,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan bahawa solat Jumaat merupakan ibadah yang mempunyai kedudukan tinggi dalam Islam dan lebih sesuai dilaksanakan di masjid atau surau yang dikhususkan sebagai tempat ibadah.
Menurutnya, surau atau musolla di pusat beli-belah lazimnya turut menjadi lokasi aktiviti perniagaan, hiburan dan rekreasi.
Tambah beliau, tempoh rehat yang diperuntukkan kepada pekerja ketika waktu solat Jumaat juga mencukupi untuk membolehkan mereka menunaikan ibadah berkenaan di masjid atau surau berhampiran.
Artikel lain: Bercanggah fitrah! Sultan Selangor bantah keras, titah tindakan tegas terhadap aktiviti songsang
Selain itu, Salehuddin berkata, pemberian kebenaran kepada surau atau musolla di pusat beli-belah untuk mendirikan solat Jumaat turut memerlukan perhatian terhadap aspek pelantikan imam, bilal, petugas lain serta pengurusan dan tadbir urus yang mematuhi dasar MAIS.
“Jika petugas surau kebenaran solat Jumaat di pusat beli-belah tidak dilantik oleh MAIS, ia akan menyukarkan aspek pemantauan dan kawalan, termasuk memastikan pematuhan serta keseragaman pembacaan khutbah Jumaat yang disediakan MAIS,” tegasnya.

Beliau memaklumkan, ketika ini hanya sebuah surau atau musolla di pusat beli-belah di Selangor diberikan kebenaran sementara untuk mendirikan solat Jumaat berikutan ketiadaan masjid berhampiran.
Menurutnya, kebenaran sementara itu akan ditarik balik sekiranya sebuah masjid dibina berhampiran lokasi terbabit yang mampu menampung keperluan penduduk Islam setempat.
“MAIS menyeru seluruh umat Islam di Selangor supaya terus mengimarahkan masjid dan surau agar institusi itu kekal menjadi pusat perpaduan umat Islam,” tambahnya.
Sumber: Majlis Agama Islam Selangor




