Pelakon Ozlynn Wati berkata dia tidak akan menjual semula pakaian lama yang mempunyai potongan labuh namun masih menampakkan bentuk badan.
Menerusi perkongsian di Threads, Ozlynn berkata dia bimbang sekiranya baju tersebut akan dipakai oleh orang lain dan lebih takut jika ianya menjadi punca dosa buat dirinya di akhirat kelak.
BACA: Ozlynn Syukur Terima Banyak Tawaran Berlakon Lepas Berhijab

“Baju mahal yang labuh tetapi ikut bentuk tubuh pun saya tak akan jual balik. Biar rugi dekat dunia. Takut orang beli pakai, saham saya dekat akhirat macam mana,” tulisnya,
Sementara itu, Ozlynn berkata dia gemar mengumpul beg tangan berjenama mewah namun kini dia mula bermuhasabah diri apabila melihat koleksi beg berkenaan.
Bagaimanapun, Ozlynn berkata koleksi berkenaan tidak pernah dipamerkan secara terbuka dan hanya diketahui oleh rakan rapat sahaja.
“Saya beli dulu memang sebab saya suka. Saya pilih warna yang mahal, yang susah nak dapat dan limited. Tapi saya pakai bukan untuk tontonan umum.
“Hanya beberapa kawan tahu saya memang ada koleksi beg dan kadang-kadang kalau kawan nak pakai pergi acara pun saya bagi, tapi sekarang bila tengok koleksi beg saya, apa nak jawab dengan Allah nanti,” katanya.




