Tawar pakej kahwin, dapat duit diam, lelaki kena tahan

Tawar pakej kahwin, dapat duit diam, lelaki kena tahan

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Polis menahan pemilik syarikat yang disyaki menipu apabila menawarkan pakej perkahwinan membabitkan kerugian lebih RM300,000.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar, berkata sebanyak 11 kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan terhadap lelaki yang juga pemilik syarikat itu.

Setakat ini, katanya, 11 laporan diterima, masing-masing tujuh di daerah Gombak, diikuti Sungai Buloh (dua), Ampang Jaya (satu) dan Sepang (satu), membabitkan kerugian keseluruhan bernilai RM309,299.

“Hasil siasatan awal mendapati semua mangsa membuat laporan polis ke atas satu syarikat didaftarkan atas seorang lelaki warga tempatan, menawarkan pakej perkahwinan kepada pelanggan.

“Mangsa yang tertarik dengan pakej ditawarkan berurusan dengan suspek. Dia kemudian menyuruh mangsa membuat transaksi secara dalam talian dengan bayaran penuh, selepas perbincangan diadakan.

“Suspek mendiamkan diri serta gagal dihubungi selepas mangsa selesai membayar pakej. Semua mangsa rasa ditipu dan membuat laporan untuk tindakan lanjut.

“Orang ramai dinasihatkan sentiasa berwaspada dengan pakej ditawarkan serta sentiasa membuat semakan dan pengesahan mengenai kewujudan pakej terbabit dengan agensi berkaitan,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Seksyen 420 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun dengan sebatan serta denda, jika sabit kesalahan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top