Terengganu ke Fasa 4 PPN akhir Oktober – Utusan Digital

MARANG: Terengganu bersedia beralih ke Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) selewat-lewatnya akhir bulan depan.

 

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, keputusan itu bagaimanapun bergantung kepada tiga indikator utama yang ditetapkan kerajaan.

 

“Esok, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik untuk meneliti data setiap negeri.

 

“Saya rasa, InsyaAllah, selewat-lewatnya sebulan lagi Terengganu boleh memasuki Fasa 4 PPN,” katanya selepas menghadiri Program Vaksinasi Pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pengkalan Berangan di sini hari ini.

 

Seramai 1,470 pelajar tingkatan satu hingga tiga daripada empat sekolah di daerah ini terlibat dalam program Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Remaja.

 

Sehingga semalam, Terengganu merekodkan sebanyak 83.2 peratus populasi dewasa yang sudah melengkapkan vaksinasi manakala 91.2 peratus sekurang-kurangnya satu dos. -UTUSAN ONLINE