TFC belum boleh dabik dada

TFC belum boleh dabik dada

mohdsyazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Terengganu FC mengambil langkah kanan pada perlawanan pertama pusingan 16 terbaik Piala Malaysia selepas menundukkan UM Damansara United 2-0 di Stadium UM Arena, petang semalam.

Penyerang import Terengganu, Careca mengakui kemenangan itu memberi kelebihan awal kepada pasukannya, namun menegaskan perjuangan masih belum berakhir.

Menurut Careca, keputusan berkenaan adalah permulaan positif yang penting sebagai bekalan menjelang aksi timbal balik di Terengganu.

“Saya sangat gembira dengan kemenangan ini dan ia satu permulaan yang baik untuk kami.

“Perkara paling penting adalah fokus pada setiap perlawanan dan menjaringkan gol untuk pasukan,” katanya.

Pada aksi itu, Careca meletakkan Terengganu di hadapan seawal minit kelima hasil penyudah kemas di dalam kotak penalti.

Gol awal itu memberi suntikan keyakinan kepada skuad Penyu untuk menguasai perlawanan dan mengawal rentak permainan.

Terengganu kemudian menambah jaringan kedua pada minit ke-78, namun gol tersebut hadir menerusi jaringan sendiri kapten UM Damansara United, Shivan Pillay Asokan.

Kelebihan dua gol itu memberikan posisi selesa kepada Terengganu menjelang perlawanan kedua, namun Careca mengingatkan rakan sepasukan agar kekal berdisiplin.

Menurutnya, UM Damansara United tetap memberikan tentangan sengit dan berusaha bangkit walaupun berdepan pasukan gergasi Liga Super.

“Kami masih ada satu lagi perlawanan dan fokus perlu dikekalkan sehingga tamat saingan,” katanya.

Terengganu yang dipimpin Tengku Hazman Raja Hassan sekali lagi akan membuat perhitungan dengan UM Damansara di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Jumaat ini untuk aksi timbal balik.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top