Tragedi balik konvoi: Penunggang motosikal rentung selepas rempuh Toyota Hilux

Tragedi balik konvoi: Penunggang motosikal rentung selepas rempuh Toyota Hilux

am@hmetro.com.my

Kuala Berang: Seorang lelaki rentung apabila motosikal ditunggangnya terbakar selepas merempuh belakang Toyota Hilux di Kilometer 399.2 Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) arah Bukit Besi menghala ke Ajil, dekat sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Superintendan Sharudin Abdul Wahab berkata, mangsa, Wan Amir Faiz Jamal Paisal, 20, dari Kampung Hutan Kuin, Machang, Kelantan, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Menurutnya, kemalangan dipercayai berlaku jam 12.53 tengah hari ketika Toyota Hilux berhenti di lorong kecemasan kerana salah sebuah motosikal dalam konvoi mereka mengalami kerosakan.

Katanya, pemandu dan penumpang Toyota Hilux itu dalam perjalanan pulang ke Gua Musang, Kelantan selepas menghadiri acara Enjoy Oktober di Kuantan, Pahang, bersama konvoi 10 motosikal yang lain.

“Ketika mahu meneruskan perjalanan, motosikal Honda C100 ditunggang mangsa yang datang dari arah belakang dipercayai merempuh bahagian belakang Toyota Hilux itu, sebelum motosikal itu terbakar.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Beliau berkata, pemandu Toyota Hilux berusia 37 tahun dan penumpangnya, wanita berusia 45 tahun, tidak mengalami sebarang kecederaan.

Menurutnya, mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Hulu Terengganu untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top