UM dianugerahkan penghargaan dari Jepun

Share on facebook
Share on twitter
Share on email
Share on whatsapp

Kuala Lumpur: Fakulti Bahasa dan Linguistik, Universiti Malaya (UM) menerima anugerah penghargaan dari Kementerian Luar Negeri Jepun sebagai mengiktiraf usaha dan sumbangan UM terhadap Jepun.

Anugerah penghargaan ini juga adalah bagi menghargai usaha UM dalam mempromosikan pendidikan bahasa Jepun di Malaysia. Kursus bahasa Jepun yang ditawarkan ini merupakan kursus ulung yang ditawarkan di Malaysia, di mana pelajar boleh membuat pengkhususan dalam pengajian bahasa Jepun dan akan dianugerahkan Ijazah Sarjana Muda Bahasa dan Linguistik Jepun setelah tamat pengajian.

UM mula menawarkan kursus ini pada 1998 dan turut menawarkan program pertukaran pelajar dengan universiti di Jepun serta peluang menjalankan latihan industri di syarikat-syarikat Jepun, baik di Malaysia mahupun di Jepun untuk memberi pendedahan kepada pelajar di samping dapat memperkukuhkan hubungan antara dua negara.

“Program ini adalah usaha Datuk Profesor Dr. Osman Bakar, Mantan Timbalan Naib Canselor (Akademik) dan Prof. Emeritus Dr. Asmah Omar, Mantan Dekan pada ketika itu dengan objektifnya adalah memberi pendedahan agar pengalaman yang diperolehi dapat memperkayakan kehidupan mereka, rakan-rakan global serta komuniti sejagat,” menurut Profesor Madya Dr. Surinderpal Kaur a/p Chanan Singh, Dekan Fakulti Bahasa dan Linguistik.

Naib Canselor UM, Datuk’ Profesor Ir. Dr. Mohd Hamdi Abd Shukor melahirkan rasa bangga dan berterima kasih atas pengiktirafan yang diterima ini.

“Pengiktirafan ini adalah bukti sokongan padu dari kerajaan Jepun atas komitmen berterusan UM. Saya berharap komitmen ini dapat diteruskan sebagai usaha memperkukuhkan lagi hubungan dua hala antara Malaysia dan Jepun” tambah beliau.

Pada tahun 2017, UM turut pernah menerima pengiktirafan dari Kerajaan Jepun atas usaha dan komitmen Universiti dalam menyediakan program persediaan pengajian ke Jepun di
bawah Ambang Asuhan Jepun (AAJ). – MAlaysiaGazette