Unisza, IPTA pertama tubuh Kor Suar untuk cegah rasuah – Utusan Digital

KUALA NERUS: Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza) muncul institusi pengajian tinggi (IPT) awam pertama di Malaysia yang menawarkan kursus Kor Kadet Mahasiswa Sukarelawan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (Kor Suar) kepada pelajarnya.

Inisiatif itu selaras usaha pencegahan rasuah di peringkat IPT sekali gus menyebar luaskan mesej antirasuah di negara ini.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, cadangan untuk menawarkan kursus berkredit kadet SPRM di IPT itu merupakan idea berani yang dikemukakan pihak Unisza kepada mereka.

“Sebelum ini kita ada kelab kesukarelawanan, Angkatan Mahasiswa Antirasuah (Amar) dan kini diwujudkan pula kelab beruniform yang menawarkan kredit sebagai pelengkap syarat pengijazahan pelajar dengan Unisza menjadi universiti perintis pertama di negara ini yang menawarkan kursus berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Terdahulu, Azam bersama Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Datuk Razim Mohd. Noor menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Unisza yang diwakili Naib Canselornya (Yang Menjalankan Fungsi), Prof. Dr. Fadzli Adam dan Pendaftar, Ismail Musa.

Sementara itu, Azam mendoakan pelajar yang mengikuti Kor Suar agar sentiasa berfikiran positif, berjiwa kental dan meneruskan perjuangan mereka hingga ke hari pentauliahan kelak.

“Pelajar yang berjaya menamatkan sesi sehingga ke semester empat akan ditauliahkan sebagai pegawai integriti remaja bertauliah sekali gus memberi nilai tambah kepada mereka apabila keluar untuk bersaing dalam mendapatkan pekerjaan nanti,” katanya.

Terdahulu, dalam majlis itu, beliau menganugerahkan pangkat kehormat dan penyerahan watikah pelantikan yang merupakan julung kali diberikan kepada ahli akademik di peringkat universiti.

Di samping itu, turut diadakan pemakaian epaulette kepada kadet Kor Suar pertama Unisza.-UTUSAN ONLINE