UniSZA salur bantuan RM6,000 kepada waris Syakirah Hanan

UniSZA salur bantuan RM6,000 kepada waris Syakirah Hanan

am@hmetro.com.my

Kuala Terengganu: Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) menyalurkan bantuan kewangan RM6,000 kepada waris pelajarnya yang maut selepas terbabit dalam kemalangan di persimpangan lampu isyarat Bukit Kecil berhampiran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), di sini, hari ini.

Mangsa, Syakirah Hanan Mazli, 25, yang mendaftar masuk ke UniSZA pada April tahun lalu adalah pelajar semester dua Diploma Pascasiswazah Pendidikan di Fakulti Pengajian Islam Kontemporari.

Pejabat Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) UniSZA menerusi kenyataan memaklumkan, bantuan berkenaan merangkumi khairat kematian berjumlah RM1,000 serta sumbangan kebajikan RM5,000 bagi meringankan beban keluarga mangsa.

Menurut kenyataan itu, berdasarkan maklumat awal yang diterima daripada orang awam, mangsa menaiki Perodua Viva sebelum terbabit dalam kemalangan.

“Mangsa yang mengalami kecederaan parah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Kad pengenalan serta kad matrik mangsa ditemui orang awam sebelum maklumat kejadian dimaklumkan kepada pihak universiti,” katanya.

UniSZA turut memaklumkan, mangsa dilindungi insurans takaful kematian bernilai RM12,000 yang akan diuruskan mengikut prosedur ditetapkan.

Dalam kenyataan sama, pihak universiti menzahirkan rasa dukacita atas pemergian pelajar terbabit dan sedang berurusan dengan pihak berkuasa serta hospital bagi tindakan lanjut.

Terdahulu, media melaporkan, penuntut UniSZA terbunuh selepas kereta dipandunya dirempuh sebuah kereta yang sedang menuruni bukit berhampiran simpang empat, Jalan Kemajuan, hari ini.

Kejadian berlaku ketika mangsa yang berasal dari Taman Perdana Ayer Hitam, Johor, dikatakan dalam perjalanan ke Jalan Bukit Kecil, jam 1.38 tengah hari.

Ketika membelok ke kanan selepas lampu isyarat bertukar warna hijau, secara tiba-tiba kereta dipandu mangsa dirempuh sebuah kereta dipandu seorang lelaki ketika menuruni bukit.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top