Drama Khianat Yang Terpilih terus hangat diperkatakan apabila jalan ceritanya kini menyentuh isu lebih sensitif, termasuk soal hukum agama yang jarang diketengahkan secara terbuka.
Antara yang menjadi perhatian adalah konflik melibatkan watak Asmida yang dilakonkan oleh Puteri Aishah, apabila hamil hasil hubungan terlarang dengan Ali lakonan Ben Amir, ketika kedua-duanya masih terikat dengan pasangan masing-masing.
Perkembangan itu mencetuskan pelbagai persoalan dalam kalangan penonton, khususnya berkaitan nasab anak, siapakah ‘bin’ yang sepatutnya digunakan, sama ada perlu berlaku penceraian serta bagaimana hukum sebenar dalam situasi tersebut.
Mengulas perkara itu, pendakwah popular, Ustaz Jafri Abu Bakar menjelaskan bahawa dalam Islam, penentuan nasab bergantung kepada status perkahwinan wanita ketika hamil.
“Sekiranya seorang wanita masih mempunyai suami, anak yang dilahirkan akan dinasabkan kepada suaminya berdasarkan kaedah bahawa anak itu disandarkan kepada pemilik perkahwinan yang sah. Dalam konteks ini, wanita itu berada di bawah akad yang sah, maka anak tersebut dikaitkan dengan suami,” jelasnya.
Bagaimanapun, terdapat keadaan tertentu yang membolehkan nasab itu dinafikan jika suami yakin anak tersebut bukan daripada benihnya.
“Jika suami mempunyai bukti yang kukuh, dia boleh menafikan nasab melalui proses li’an, iaitu sumpah laknat yang dilakukan di hadapan hakim atau qadhi. Apabila li’an berlaku, anak tersebut tidak lagi dinasabkan kepada suami, sebaliknya kepada ibunya,” katanya.
Tambahnya lagi, penentuan atau penafian nasab tidak boleh dibuat sewenang-wenangnya atau hanya bergantung kepada ujian DNA semata-mata.
“Dalam hukum syarak, penetapan nasab berlaku melalui akad perkahwinan, manakala penafian pula perlu melalui proses li’an. Proses ini juga membawa kepada perpisahan kekal antara suami isteri,” kongsinya.
Khianat Yang Terpilih kini menghampiri episod akhir yang dijadual bersiaran pada Rabu depan. Drama ini boleh ditonton setiap Isnin hingga Jumaat, jam 6.58 petang di slot Akasia TV3.
Penonton juga boleh mengikuti episod baharu secara eksklusif di platform iQIYI, kira-kira satu jam selepas siaran di TV3 sama ada melalui laman web atau aplikasi.




