Verstappen panggil Hamilton bodoh – Utusan Digital

AUSTIN: Ketegangan dalam pe­rebutan gelaran Formula Satu (F1) dunia makin hangat apabila Max Verstappen menggelar Lewis Hamilton bodoh.

Dalam sesi latihan ke­dua Grand Prix (GP) Amerika Syarikat semalam, Verstappen dilihat cuba mengambil selekoh, namun Hamilton agresif memintas di hadapannya yang dianggap tindakan berbahaya.

Bagaimanapun, pasukan Red Bull menenangkan pelumba mereka dan memintanya agar mengendahkan sahaja tindakan juara dunia tujuh kali itu.

“Ha Bodoh!” Kata Verstappen dalam perbualan radio bersama pasukan sejurus selepas Hamil­ton melakukan pemanduan agresif.

Dalam sesi latihan tersebut, kedua-dua pemandu Mercedes tampil cemerlang apabila mencatat masa terpantas, sekali gus memberi tekanan kepada pasukan Red Bull untuk mem­buru kemenangan pertama dalam GP Amerika Syarikat hari ini.

Verstappen mengakui terdapat banyak perkara perlu dilakukan pasukannya menjelang perlumbaan sebenar nanti.

“Secara keseluruhan tidak mudah kerana keadaan litar yang tidak rata memberi kesukaran untuk mengawal jentera dengan baik.

“Bagaimanapun ada beberapa perkara positif kami peroleh hari ini.

“Saya yakin pasukan akan mencari jalan penyelesaian terbaik untuk mencari penamat yang sempurna pada perlumbaan sebenar esok,” kata Verstappen yang kini mendahului Hamilton dengan enam mata dalam perebutan gelaran kejuaraan.

Pada perlumbaan tersebut, Mercedes turut meningkatkan kemampuan jenteranya selepas menggunakan enjin keenam sekaligus Valtteri Bottas akan dikenakan penalti lima petak pada perlumbaan sebenar di Austin. – AGENSI