1,500 tentera AS diarah bersiap sedia untuk dikerah ke Minnesota

1,500 tentera AS diarah bersiap sedia untuk dikerah ke Minnesota

Washington: Pentagon mengarahkan 1,500 anggota tentera Amerika Syarikat (AS) bersiap sedia untuk kemungkinan penempatan ke Minnesota susulan pergolakan yang tercetus akibat tindakan keras pihak berkuasa imigresen negara itu, lapor media AS pada Ahad.

Langkah persediaan itu dibuat selepas Presiden Donald Trump mengancam untuk menggunakan Akta Pemberontakan yang membolehkan dikerahkan bagi menumpaskan pemberontakan bersenjata atau keganasan domestik.

Rancangan penempatan berkenaan pertama kali dilaporkan oleh rangkaian berita ABC yang memetik dua pegawai pertahanan AS sebagai berkata, 1,500 anggota payung terjun tentera darat dari Alaska diletakkan dalam keadaan siap siaga.

Bagaimanapun, setakat ini, Trump dilaporkan belum membuat keputusan muktamad sama ada pasukan berkenaan akan dihantar ke negeri terbabit.

Pentagon dan Rumah Putih juga tidak memberikan sebarang maklum balas segera terhadap permintaan media untuk mengulas mengenai persediaan ketenteraan itu pada Ahad.

Akta Pemberontakan kali terakhir digunakan di AS lebih 30 tahun lalu, dan sebarang langkah mengerahkan tentera persekutuan dijangka berpotensi memburukkan lagi ketegangan dengan pihak berkuasa tempatan di Minnesota.

Kumpulan penunjuk perasaan berdepan dengan pegawai imigresen di Minneapolis, terutamanya sejak seorang wanita AS ditembak oleh ejen persekutuan pada 7 Januari lalu.

Sabtu lalu, Jabatan Keselamatan Awam Minnesota mengumumkan bahawa Pengawal Kebangsaan negeri digerakkan atas arahan Gabenor Tim Walz untuk membantu agensi penguatkuasaan tempatan menangani protes.

Datuk Bandar Minneapolis, Jacob Frey menyifatkan kehadiran kira-kira 3,000 ejen persekutuan dari Jabatan Imigresen dan Kastam (ICE) serta kawalan sempadan sebagai pasukan pendudukan yang menceroboh bandar mereka.

Beliau menyatakan rasa bimbang kerana bilangan ejen persekutuan kini melebihi anggota polis bandar itu dengan nisbah lima kepada satu, selain laporan mengenai 1,500 tentera tambahan yang bakal tiba.

“Ini bukan soal keselamatan. Ini adalah tentang datang ke bandar kami dengan ribuan anggota dan menakut-nakutkan orang ramai,” katanya dalam program televisyen “Face the Nation”.

Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri, Kristi Noem menegaskan bahawa tindakan keras akan diteruskan sehingga semua individu yang dianggap berbahaya ditahan dan dihantar pulang ke negara asal.

Sebelum ini, Pentagon pernah mengerahkan kira-kira 700 anggota Marin AS di Los Angeles pada Jun dan Julai lalu sebagai tindak balas terhadap protes besar-besaran berhubung operasi imigresen yang agresif.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top