yusmizal@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Kira-kita 5,000 orang menyertai Malam Berselawat Menjunjung Daulat sempena sambutan Awal Muharam 1448H di Masjid Bandar Saujana Putra malam tadi.
Ia menampilkan pelbagai pengisian yang merangkumi lebih 40 buah pameran dan reruai komuniti, aktiviti kemasyarakatan, persembahan kebudayaan serta pelbagai inisiatif yang mengangkat peranan rakyat dalam pembangunan negara dan masyarakat.
Sekretariat Muafakat Jelata Menjunjung Daulat (MJMD) dalam satu kenyataan berkata, program diadakan dalam suasana penuh kerohanian melalui solat berjemaah, selawat dan munajat, persembahan gurindam, forum perdana serta deklarasi yang menzahirkan semangat perpaduan, muafakat dan kecintaan terhadap agama, raja dan negara.
Selain itu, turut diadakan bacaan selawat, tausiyah, doa kesejahteraan negara serta penghayatan sempena kedatangan tahun baharu Islam 1448 Hijrah.
“Program yang berlangsung dari jam 3 petang hingga 10.30 malam itu menampilkan pelbagai pengisian yang merangkumi lebih 40 buah pameran dan reruai komuniti, aktiviti kemasyarakatan, persembahan kebudayaan serta pelbagai inisiatif yang mengangkat peranan rakyat dalam pembangunan negara dan masyarakat,” katanya.
Ia dirasmikan Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor Datuk Salehuddin Saidin.
Di dalam ucapannya, beliau menegaskan penghayatan nilai-nilai Islam, semangat perpaduan dan penghormatan terhadap institusi negara perlu terus diperkukuhkan bagi memastikan kestabilan dan keharmonian masyarakat dapat dipelihara.
“Ketika kita diasak, ketika institusi kesultanan ini diasak dengan pelbagai tohmahan, pelbagai cacian yang kita sendiri tak sanggup mendengar, tak sanggup melihatnya.
“Saya amat bersyukur serta berbangga dengan hadirin sekalian, terutama pada penganjur yang telah memainkan peranan memupuk muafakat masyarakat umat Islam, khususnya di negeri Selangor ini untuk sama-sama berjuang mempertahankan kedaulatan raja,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




