SM Architects menang reka bentuk stesen RTS Johor Bahru-Singapura

Kuala Lumpur : Chin Yee Chong dari SM Architects Sdn Bhd muncul pemenang utama dalam Pertandingan Idea Reka Bentuk Fakad (Facade) Stesen Laluan Sistem Transit Rapid (RTS) Johor Bahru-Singapura.

Yee Chong membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM250,000 sekali gus menewaskan lebih 90 peserta dalam pertandingan anjuran bersama MRT Corp dan Pertubuhan Arkitek Malaysia (PAM).

Mempertaruhkan reka bentuk moden dan futuristik yang dikenali sebagai ‘The Integration of Two’, ia diinspirasikan daripada hubungan bersejarah di antara Johor Bahru dan Singapura yang telah wujud selama berabad dan kini diperkukuhkan lagi dengan projek RTS Link di antara kedua-duanya.

Mengulas mengenai kemenangan itu Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp, Datuk Mohd Zarif Hashim said, berkata reka bentuk futuristik itu berjaya mengabadikan hubungan di antara Johor Bahru dan Singapura.

Katanya, stesen itu bukan sahaja akan menjadi mercu tanda ikonik di Johor Bahru tetapi juga antara stesen keretapi hebat di dunia.

“Reka bentuk ini dipilih oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar bersama-sama panel juri pertandingan ini di Mesyuarat Akhir Penjurian kerana simbolisme yang kuat dipaparkan oleh reka bentuk ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media maya mengumumkan pemenang pertandingan itu hari ini.

Mengulas lanjut Mohd Zarif berkata, kemenangan oleh SM Architect itu juga adalah sesuatu yang bermakna kerana ia adalah firma yang berpangkalan di Johor Bahru.

Selain itu, pasukan Yee Chong juga terdiri daripada arkitek yang

bergraduasi dari universiti Malaysia, iaitu Universiti Teknologi Malaysia.

“Reka bentuk ini mengadaptasikan banyak ciri hijau serta penggunaan bahan komposit yang ringan dan canggih.

“Stesen RTS ini akan direka sepenuhnya mengikut reka bentuk daripada SM Architect, cuma mungkin akan ada sedikit pengubahsuaian membabitkan kerja-kerja kejuruteraan, namun tidak akan menjejaskan imej dan rupanya.

“Selain itu, dari segi kos, reka bentuk sedemikian tidak dijangka akan menyebabkan berlaku sebarang peningkatan kos dan kita akan pastikan pembinaannya nanti adalah mengikut kos yang telah ditetapkan,” katanya.

Sumber – Berita Harian

Malay News
Technology Desk

Scroll to Top