Pengacara dan pelakon terkenal Singapura, Roslan Shah tidak pernah menyangka program Night Walk hasil kerjasamanya dengan pempengaruh dan usahawan Mangobossku kini menjadi fenomena hingga menarik perhatian peminat di Singapura, Malaysia dan Indonesia.
Menurut Roslan, idea asal program tersebut datang daripada Mangobossku bersama sahabatnya, Ali, yang pada mulanya hanya dibuat secara suka-suka tanpa sebarang perancangan besar.
“Bila idea datang, Mangobossku usulkan untuk saya muncul dalam program Night Walk itu. Saya terkejut ia jadi fenomena, saya dan Mangobossku buat suka-suka sahaja. Kami bukan paranormal, tapi kami hanya berjalan di malam hari di sekitar Singapura.
“Kami bukan nak mencari hantu, apa yang muncul memang satu ‘bonus’. Ramai yang mula menonton program itu di saluran YouTube MBK Film Studio. Mungkin orang ramai terhibur dengan gelagat kelakar seram saya dan tetamu lain,” katanya.
Populariti program Night Walk melonjak apabila menampilkan barisan tetamu terkenal antaranya Nur Sajat, Ustaz Ebit Lew, Datuk Seri Vida, Datuk Adi Putra dan Azlee Senario.
Roslan sendiri mengakui tidak menyangka kandungan santai itu mampu menarik ratusan ribu tontonan di saluran YouTube MBK Film Studio.
“Sejujurnya, saya tak sangka ia jadi viral. Alhamdulillah sampai ke Malaysia dan Indonesia. Kemuncaknya apabila kami buat night walk dengan penyampai radio Era, Nabil, Azad dan Radin. Beratus ribu orang menonton ketika itu di saluran YouTube MBK Film Studio,” katanya lagi.
Fenomena tersebut sekali gus membuka pintu rezeki lebih luas buat Roslan apabila beliau menerima banyak tawaran seni termasuk nyanyian, persembahan pentas serta peluang berlakon.
“Insya-Allah, minggu hadapan saya bakal merakamkan single terbaharu berjudul Hantu Hantu Hantu dengan Adi Sixth Sense. Selain itu, saya mendapat banyak tawaran persembahan dan juga tawaran untuk berlakon.
“Ada juga banyak tawaran dari nama-nama besar di Malaysia dan Indonesia yang menyatakan minat mahu bekerjasama. Untuk program Night Walk pula, selepas ini kami akan melakukan program itu bersama nama besar seperti Fattah Amin dan Zizan Razak,” jelasnya.
Roslan menzahirkan rasa syukur kerana segala usaha yang dilakukan akhirnya membuahkan hasil, apatah lagi selepas melalui pelbagai cabaran sebelum ini.
“Syukur rezeki Allah, selepas melalui pelbagai cabaran, mungkin tahun 2025 menjadi tahun saya. Saya sendiri tak sangka, kini kehadiran saya di acara menjadi tumpuan, peminat mula serbu saya. Tak sangka program ini dapat menaikkan nama saya. Apapun, saya berterima kasih kepada Mangobossku, rakan-rakan dan peminat yang selama ini memberi sokongan,” katanya.