JOHOR BAHRU- Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) menafikan dakwaan yang tular di media sosial mengenai 91 peratus daripada hasil pendapatan kelab itu pada tahun 2024 datang daripada sumber awam atau berkaitan kerajaan.
Ketua Pegawai Operasi dan Pengarah Teknikal JDT, Alistair Edwards berkata, dakwaan tersebut adalah tidak tepat, tidak berasas dan salah tafsir terhadap fakta sebenar.
Katanya, walaupun akaun kewangan teraudit JDT menyenaraikan Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ) serta geran atau sumbangan kerajaan, ia hanyalah prosedur operasi standard (SOP) di mana dana disalurkan melalui saluran tersebut bagi pelbagai tujuan.
“Untuk rekod, semua penajaan sukan daripada syarikat swasta, yang merupakan sebahagian besar daripada 91 peratus yang didakwa dalam kes ini disalurkan melalui Majlis Sukan (peringkat kebangsaan dan negeri) bagi tujuan pelepasan cukai kepada syarikat-syarikat berkenaan.
“Oleh itu, semua penaja-penaja swasta JDT juga menyalurkan dana penajaan melalui Majlis Sukan,” katanya dalam kenyataan.
Edwards berkata, geran dan sumbangan kerajaan yang diberikan pula adalah khusus untuk pembangunan sukan di peringkat akar umbi, termasuk penganjuran kejohanan remaja serta program pembangunan akar umbi di semua daerah di Johor.
Katanya, sebahagian besar dana ini disalurkan kepada Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) dan juga persatuan bola sepak daerah bagi tujuan tersebut.
“JDT ingin menjelaskan bahawa tiada satu pun daripada geran ini digunakan untuk operasi bola sepak kelab.
“Ini termasuk perbelanjaan pasukan utama, gaji kakitangan, operasi Akademi JDT mahupun penyelenggaraan aset kelab,” ujarnya.
Sementara itu, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi turut menegaskan kerajaan negeri memandang serius penyebaran maklumat tidak tepat yang boleh mengelirukan masyarakat berhubung sumber kewangan kelab berkenaan.
Beliau berkata, angka yang dipetik oleh pihak tertentu tidak boleh disamakan sebagai pembiayaan langsung kerajaan terhadap operasi kelab kerana sebahagian besar dana adalah penajaan syarikat swasta yang disalurkan melalui mekanisme pentadbiran majlis sukan.
Tegas beliau, sebarang geran kerajaan yang disalurkan pula adalah khusus bagi pembangunan sukan akar umbi termasuk program belia, kejohanan daerah serta pengukuhan ekosistem bola sepak negeri.
Menurutnya, penyebaran maklumat tidak tepat berpotensi menjejaskan usaha berterusan untuk membangunkan ekosistem sukan yang sihat dan profesional di negeri Johor.
Ringkasan AI
- Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim menafikan dakwaan pendapatan 91% daripada sumber awam tahun 2024
- Dakwaan itu salah tafsir, semua penajaan sukan daripada syarikat swasta disalurkan melalui Majlis Sukan untuk pelepasan cukai
- Geran dan sumbangan kerajaan adalah untuk pembangunan sukan akar umbi, bukan untuk operasi kelab
- Tiada geran kerajaan digunakan untuk operasi kelab seperti perbelanjaan pasukan utama atau gaji kakitangan
- Menteri Besar Johor menegaskan maklumat salah tentang pembiayaan kelab boleh mengelirukan dan menjejaskan pembangunan sukan



