firdaushashim@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Selangor FC (SFC) kembali pada rentak sebenar apabila membelasah Imigresen FC (IFC) 4-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di Kelana Jaya, malam tadi.
Kejayaan mengutip tiga mata maksimum itu meletakkan anak buah Kim Pan-gon kembali berada di tangga kedua liga untuk memintas Kuala Lumpur City FC dan Kuching City FC.
Malah, kemenangan itu mengubati kekecewaan Pan-gon pada minggu lalu selepas skuad Red Giants sekadar terikat dengan Melaka FC.
Sebaliknya kekalahan pelawat itu menyaksikan skuad kendalian Yusri Che Lah kekal di tangga kesembilan dengan 18 mata sahaja.
Dalam aksi itu, tuan rumah nyata menguasai permainan dengan sempurna sejak awal namun hanya berjaya merobek benteng lawan di minit 28 hasil tandukan penyerang berbisa, Chrigor Moraes yang menerima hantaran lintang Faisal Halim.
Seminit sebelum tamat babak pertama, tonggak pertahanan SFC, Zikri Khalili mengukuhkan kedudukan tuan rumah juga menerusi tandukan selepas menyambut hantaran Alvin Fortes.
Momentum permainan bertambah rancak di babak kedua apabila IFC tampil lebih garang dan berjaya meledak gol di minit 48 tetapi jaringan Fayadh Zulkifli itu dibatalkan ekoran ofsaid.
Faisal memiliki peluang mencetak nama selaku penjaring di minit 63 selepas dia bergerak solo mengatasi beberapa pertahanan namun rembatannya dalam kotak penalti berjaya dihalang pemain lawan.
Vitor Pernambuco turut mensia-siakan peluang terhidang di minit 69 apabila gerakkannya gagal mengatasi Zarif Irfan ketika penyerang import SFC itu hanya berdepan penjaga gol pelawat itu.
Usaha berterusan SFC membolehkan pasukan meraih gol ketiga di minit 78 yang disudahkan Moraes untuk gol keduanya dalam aksi itu.
Pernambuco akhirnya menebus kehampaan apabila meledak gol keempat di hujung permainan di mana jaringan itu adalah gol sulungnya bersama pasukan selepas menyertai SFC pada Januari lalu.
Dia sepatutnya menambah gol peribadi kedua tetapi percubaannya sekadar singgah ke tiang gol, sekali gus tuan rumah menang dengan kelebihan empat gol.
© New Straits Times Press (M) Bhd




