PERSATUAN Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) menggesa pendekatan nasional yang lebih terselaras bagi mempercepatkan penggunaan kenderaan elektrik (EV) dalam sektor pelancongan, sekali gus memastikan industri itu kekal mampan, berdaya saing dan bersedia menghadapi masa depan.
Presidennya, Nigel Wong berkata, peralihan ke arah mobiliti elektrik dalam pelancongan perlu dilihat sebagai transformasi sistemik yang melangkaui dasar pengangkutan semata-mata, sebaliknya melibatkan perancangan tenaga, mekanisme kewangan, pembangunan infrastruktur serta tadbir urus pelancongan.
Menurutnya, tanpa penyelarasan kukuh antara kementerian dan pemain industri, usaha memperluas penggunaan EV dalam sektor tersebut akan kekal berpecah dan tidak memberi impak signifikan.
“Ini bukan sekadar menggantikan kenderaan petrol dan diesel. Ia mengenai membina ekosistem praktikal yang membolehkan pengusaha pelancongan menggunakan EV dengan yakin, mampu milik dan pada skala besar,” katanya dalam satu kenyataan.
MATTA turut menyorot beberapa contoh antarabangsa yang berjaya mempercepatkan penggunaan EV melalui tindakan kerajaan yang terselaras.
Di Norway, ekosistem komprehensif melibatkan insentif, dasar sokongan dan rangkaian pengecasan meluas berjaya meningkatkan penggunaan EV termasuk dalam perkhidmatan kereta sewa di laluan pelancongan utama seperti fjord.
Di Kesatuan Eropah, dasar iklim yang diselaraskan di bawah rangka kerja penyahkarbonan telah membantu bandar seperti Amsterdam dan Paris beralih kepada mobiliti elektrik dalam perkhidmatan pelancongan termasuk bas ulang-alik hotel dan kenderaan lawatan, disokong langkah kawal selia seperti zon pelepasan rendah.
Sementara itu, di China, penyelarasan kukuh dipacu kerajaan membolehkan proses elektrifikasi dilaksanakan dengan pantas, khususnya di bandar seperti Shenzhen yang telah menukar keseluruhan armada bas awam kepada tenaga elektrik.
“Persamaan utama di negara-negara ini bukan hanya pelaburan dalam EV, tetapi kerangka dasar dan pelaksanaan yang menyatukan sektor tenaga, pengangkutan dan pelancongan di bawah hala tuju yang sama,” jelas beliau.
Tambah Wong, Malaysia mempunyai asas kukuh menerusi pelan seperti Low Carbon Mobility Blueprint 2021–2030 yang menjadi panduan strategik mengurangkan pelepasan karbon dalam sektor pengangkutan sambil menyokong pembangunan ekonomi.
Sehubungan itu, MATTA menekankan keperluan memperkukuh penyelarasan antara agensi bagi memastikan pembangunan infrastruktur pengecasan EV dilaksanakan secara berkesan di destinasi pelancongan utama, lebuh raya dan pusat bandar, selain menyediakan insentif khusus kepada pengusaha pelancongan untuk beralih kepada EV.
Pada masa yang sama, persatuan itu menegaskan kepentingan integrasi tenaga boleh diperbaharui dalam ekosistem EV bagi memastikan pengurangan pelepasan karbon benar-benar tercapai dan tidak dipindahkan ke sektor lain.
MATTA turut menggesa syarikat berkaitan kerajaan serta agensi sektor awam menjadi peneraju dengan menggunakan EV bagi tujuan rasmi dan pelancongan, sekali gus meningkatkan keyakinan serta mempercepatkan penggunaan dalam sektor swasta.
Mengulas lanjut Wong berkata, pelancongan adalah antara sektor ekonomi terpenting Malaysia.
“Jika kita mahu kekal kompetitif di peringkat global, kita perlu selaras dengan trend kelestarian antarabangsa dan memastikan sistem mobiliti kita mencerminkan hala tuju itu,” katanya.
Beliau menegaskan, pendekatan menyeluruh merentas kerajaan bukan sahaja perlu, malah mendesak bagi menyediakan penyelarasan, skala dan kepastian dasar dalam mentransformasikan mobiliti pelancongan secara mampan.


