KKSB tuntut laporan akhir insiden letupan gas Putra Heights

KKSB tuntut laporan akhir insiden letupan gas Putra Heights

nurul.hidayah@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pertubuhan Kebajikan Penduduk Kampung Kuala Sungai Baru (KKSB) menuntut penjelasan segera daripada Kerajaan Negeri Selangor berhubung status Jawatankuasa Bebas Insiden Letupan Gas Putra Heights.

Setiausaha Pertubuhan Kebajikan Penduduk Kampung Kuala Sungai Baru (KKSB), Mohd Badly Nordin berkata, jawatankuasa itu dilantik bagi menyemak punca kejadian, pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dan cadangan penambahbaikan keselamatan.

“Berdasarkan makluman awam oleh Pengerusi Jawatankuasa Bebas pada 12 Januari lalu sudah diadakan mesyuarat teknikal bersama Petronas bagi melengkapkan laporan siasatan akhir.

“Pada 10 April lalu pula sudah diadakan Sesi Perbincangan Strategik dan Pemurnian Laporan Siasatan di Ibu Pejabat SUK Selangor.

“Persoalan kami mudah, adakah laporan akhir itu sudah siap? Adakah ia sudah dibentangkan kepada Kerajaan Negeri Selangor dan bila laporan itu akan didedahkan kepada mangsa dan penduduk terbabit?” soalnya.

Menurutnya, tragedi letupan gas di Putra Heights, Subang Jaya pada tahun lalu memberi kesan besar kepada kehidupan penduduk.

“Justeru itu, mangsa berhak mengetahui dapatan sebenar jawatankuasa bebas yang sudah dijanjikan.

“Kami mendesak Kerajaan Negeri Selangor supaya segera memberi penjelasan rasmi dan

mendedahkan laporan akhir itu demi ketelusan, keselamatan awam dan keadilan kepada mangsa.

“Mangsa tidak hanya menuntut bantuan tetapi juga menuntut kebenaran dan keadilan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan tragedi letupan dan kebakaran saluran paip gas di Putra Heights pada 1 April 2025 yang berlaku pada pagi Aidilfitri kedua di Taman Putra Harmoni dan Kampung Kuala Sungai Baru.

Kebakaran besar itu yang berpunca daripada paip gas bawah tanah menyebabkan kebakaran besar dengan api menjulang hingga 30 meter dan suhu panas di kawasan sekitar.

Pihak berkuasa termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengambil masa kira-kira lapan jam untuk memadam kebakaran itu sepenuhnya.

Insiden merosakkan sepenuhnya 81 rumah, manakala 81 lagi rumah separa musnah selain mengakibatkan 145 mangsa cedera dengan 67 daripadanya memerlukan rawatan di hospital akibat melecur dan sesak nafas.

Bagi kediaman yang terjejas teruk akibat kejadian berkenaan, pihak Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) ditugaskan untuk membina semula 81 rumah yang musnah sepenuhnya.

Siasatan dilakukan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) mendapati punca utama kejadian itu adalah keadaan tanah yang lemah menyebabkan struktur paip tidak disokong sepenuhnya sekali gus menyebabkan kegagalan fizikal.

Susulan kejadian itu, terdapat saman sivil difailkan oleh 36 penduduk terhadap Petronas Gas Berhad, pemaju, Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) dan kerajaan Malaysia.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top