Awie imbau pengalaman 4 dekad dalam industri hiburan, umpama 'badut'

Awie imbau pengalaman 4 dekad dalam industri hiburan, umpama 'badut'

mohamadridzuan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Legenda rock tanah air, Datuk Awie mengumpamakan dirinya kadangkala ibarat badut yang menghiburkan orang sekeliling.

Awie atau nama sebenarnya, Ahmad Azhar Othman, 58, berkata demikian apabila ditanya pengalamannya sepanjang 40 tahun terbabit dalam industri seni tanah air.

“Kadang-kadang rasa saya ini macam badut pun ada dalam 40 tahun ini. Sebab dalam apa jua keadaan saya kena senyum dan saya kena hiburkan orang.

“Apa jua keadaan saya: susah, sedih, berduka, bercerai, putus tunang, saya kena hiburkan orang juga. Jadi tak ke itu badut?

“Orang tak pernah menyelami perasaan saya yang saya ini nak mengerah keringat, saya nak di atas pentas kena ada ‘full power’, dalam keadaan yang sama saya kena bagi orang ketawa, bagi orang ‘happy’.

“Dalam keadaan yang sama saya tengah berduka. Sebab itu saya kategorikan saya sebagai badut,” katanya pada sidang media Konsert Awie Rock King – Last Man Standing 2026 di sebuah hotel, di sini, Isnin lalu.

Konsert yang dijadualkan berlangsung di Stadium Merdeka pada 12 September depan akan menghimpunkan empat dekad perjalanan kerjaya Awie sebagai penyanyi dan artis rakaman profesional dalam industri muzik tanah air.

Dia akan beraksi dengan diiringi oleh lebih 20 pemuzik terkenal serta turut akan menampilkan bebetapa artis undangan yang akan diumumkan nanti.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top