Tiga anak Allahyarham Amirul Hafiz Omar, mangsa nahas jalan raya akibat dirempuh pemandu mabuk di Klang, menerima bantuan pendidikan berjumlah RM3,000 daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Bantuan itu disalurkan dalam bentuk Akaun Simpan SSPN Prime menerusi Program Ziarah Kasih PTPTN bagi memastikan pendidikan anak-anak mangsa terus terbela selepas kehilangan bapa mereka.
Setiap anak menerima RM1,000 sebagai simpanan pendidikan, sekali gus menjadi sokongan awal kepada waris mangsa yang kini berdepan kehilangan ketua keluarga.
Sesi ziarah itu diketuai Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim bersama Pengurus Besar Jabatan Komunikasi Korporat dan Pemasaran PTPTN, Wan Zawiah Wan Abu Bakar serta Pengarah Pejabat PTPTN Negeri Perak, Andi Nurali Mohamed.
Norliza berkata, bantuan itu diharap dapat meringankan beban kewangan waris yang kehilangan insan tersayang dalam tragedi berkenaan.
“Walaupun tiada apa yang mampu menggantikan kehilangan seorang suami dan bapa, kami berharap sumbangan ini dapat menjadi sokongan bermakna dalam memastikan pendidikan anak-anak Allahyarham terus terbela,” katanya.
Sumbangan itu disampaikan ketika sesi ziarah waris Allahyarham Amirul Hafiz di Batu Kurau, Perak, baru-baru ini.
Dalam pada itu menurut Norliza, Simpan SSPN diwujudkan sebagai instrumen simpanan pendidikan tinggi bagi menggalakkan masyarakat membuat perancangan kewangan lebih awal.
“Skim itu turut menawarkan beberapa manfaat termasuk pelepasan taksiran cukai pendapatan sehingga RM8,000 setahun, perlindungan takaful percuma, Geran Sepadan sehingga RM10,000 bagi keluarga layak, dividen kompetitif, simpanan dijamin kerajaan dan patuh syariah.
“Pihaknya akan terus memperluas pelaksanaan program tanggungjawab sosial korporat khususnya dalam aspek pendidikan demi membantu pembangunan anak bangsa,” katanya.
Allahyarham Amirul Hafiz sebelum ini dilaporkan maut selepas motosikal ditunggangnya dirempuh sebuah kereta dipandu lelaki dipercayai berada di bawah pengaruh alkohol di Jalan Raya Barat, Klang, Selangor. –UTUSAN




