TAPAH – Program Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) yang dilaksanakan kerajaan bukan untuk membenarkan pelarian dan pemohon suaka kekal menetap di Malaysia.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, program yang bermula secara rasmi pada 1 Januari lalu itu diwujudkan sebagai mekanisme pengurusan lebih tersusun, terancang dan berperikemanusiaan tanpa menjejaskan keselamatan negara.
Menurutnya, sebelum ini maklumat pelarian dan pemohon suaka hanya direkodkan oleh UNHCR tanpa kerajaan memiliki akses terperinci terhadap identiti dan keberadaan mereka.
“Melalui DPP, kerajaan sendiri menyimpan rekod lengkap termasuk biometrik, rakaman suara, pengecaman wajah serta maklumat peribadi secara terperinci.
“Langkah ini penting supaya kita tahu siapa mereka, di mana mereka berada dan bagaimana untuk memantau mereka dengan lebih efektif,” katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja ke Pusat Pengasingan Khas Pelarian dan Pemohon Suaka, Bidor di sini pada Isnin.
Saifuddin berkata, pelaksanaan DPP juga membuka potensi baharu kepada kerajaan untuk memadankan pelarian yang layak bekerja dengan sektor industri yang memerlukan tenaga kerja.
Katanya, beberapa majikan telah mula menjalankan temu duga dengan kumpulan perintis itu termasuk syarikat di Pulau Pinang melalui kerjasama Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM).
Beliau berkata, kebanyakan pelarian yang dikenal pasti berada dalam lingkungan umur produktif antara 20 hingga 40 tahun dan mampu memenuhi keperluan sektor tertentu.
Bagaimanapun, Saifuddin menegaskan kerajaan tidak akan berkompromi dalam aspek keselamatan.
“Walaupun kita cuba membantu atas dasar kemanusiaan, elemen keselamatan tidak boleh dikompromi.
“Keseimbangan antara nilai kemanusiaan dan keselamatan negara adalah pertimbangan utama,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan hanya terdapat tiga penamat kepada pengurusan pelarian dan pemohon suaka di bawah DPP iaitu penghantaran pulang ke negara asal apabila keadaan di negara mereka kembali selamat, penempatan ke negara ketiga dan pengusiran bagi mereka yang melanggar undang-undang.
Menurutnya, perkara itu membuktikan DPP bukan laluan untuk pelarian menetap kekal di Malaysia.
Saifuddin berkata, pelaksanaan fasa pertama DPP memberi tumpuan kepada 4,010 migran warga Myanmar etnik Rohingya yang kini ditempatkan di depot imigresen seluruh negara.
“Daripada jumlah itu, 4,008 adalah warga Myanmar, manakala masing-masing seorang warga Sudan dan Syria.
“Mereka akan dipindahkan secara berperingkat ke pusat ini untuk melalui proses temu duga serta penentuan status pelarian atau Refugee Status Determination (RSD),” katanya.
Menurutnya, pusat di Bidor itu kini mempunyai kapasiti menempatkan 400 individu, dengan 101 tahanan Rohingya sudah ditempatkan di situ.
Katanya, daripada jumlah itu seramai 78 orang telah diluluskan status pelarian di bawah DPP selepas melalui tapisan ketat melibatkan aspek keselamatan, imigresen dan latar belakang.



