PETALING JAYA: Perwakilan Diplomatik Malaysia diingatkan supaya terus memperkukuh keupayaan diplomasi dalam menarik perdagangan, pelaburan dan meneroka peluang kerjasama strategik sekali gus memperkasakan pertumbuhan ekonomi negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peringatan itu ditekankannya dalam kunjungan hormat oleh 13 Ketua Perwakilan Diplomatik Malaysia yang bakal menggalas amanah negara di pelbagai rantau strategik dunia.
Katanya, dalam pertemuan itu beliau menekankan keperluan untuk terus memperkukuh keupayaan diplomasi khususnya dalam menarik perdagangan, pelaburan berkualiti tinggi serta meneroka peluang kerjasama strategik yang mampu memperkasa pertumbuhan ekonomi negara secara mampan.
“Saya turut menyentuh bahawa peranan seorang diplomat menuntut lebih daripada sekadar penguasaan protokol dan hubungan rasmi antara negara hatta memerlukan kefahaman yang mendalam terhadap sejarah, budaya, sistem politik serta nuansa masyarakat setempat agar setiap bentuk keterlibatan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan dan bermakna.
“Malah saya tekankan juga pentingnya usaha berterusan untuk membimbing dan memperkasa generasi diplomat muda agar memiliki keluasan ilmu, ketajaman pemikiran serta kemampuan mendepani geopolitik dan ekonomi global yang semakin mencabar dan kompleks ketika ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau juga memberi komitmen bahawa Malaysia akan terus berpegang pada prinsip kesederhanaan, kestabilan, tata kelola yang baik serta pendekatan diplomasi yang berteraskan kebijaksanaan dan nilai kemanusiaan sejagat dalam membawa suara negara di pentas dunia. – UTUSAN




