am@hmetro.com.my
Setiu: Seorang guru mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Setiu di sini, hari ini, atas tujuh pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap pelajar lelaki berusia 17 tahun dan 15 tahun.
Tertuduh, Darusalam Ab Rahman, 42, membuat pengakuan terbabit selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Fadhli Mahmud.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa dengan lima pertuduhan membabitkan pelajar 17 tahun sementara dua pertuduhan membabitkan pelajar 15 tahun.
Bagi pertuduhan pertama membabitkan pelajar 17 tahun, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa di dalam sebuah kereta di hadapan sebuah kedai makan di Kuala Terengganu, pada jam 9 malam, 11 Mei lalu.
Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa melakukan perbuatan sama terhadap mangsa pada jam 10 malam, tarikh sama, di dalam kereta di hadapan sebuah rumah di Kampung Anak Ikan, Besut.
Kedua-dua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan sebat bagi kedua-dua pertuduhan.
Manakala tiga pertuduhan membabitkan pelajar sama dibuat mengikut Seksyen 12 (1) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 kerana membabitkan kesalahan pengantunan melalui komunikasi.
Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara tidak lebih lima tahun dan sebat.
Mengikut tiga pertuduhan berkenaan, tertuduh didakwa menghantar tiga WhatsApp dengan niat melakukan amang seksual fizikal kepada mangsa pada tiga tarikh iaitu 5 Mei, 8 Mei dan 10 Mei pada masa berbeza.
Bagi pertuduhan membabitkan pelajar berusia 15 tahun, tertuduh didakwa dengan dua pertuduhan di bawah Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan Seksyen 14 (b) akta yang sama.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual terhadap mangsa di sebuah tandas sekolah menengah di daerah Besut.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Akmal Mohd Jazlee.
Hakim kemudian menetapkan tertuduh dijamin RM22,000 dengan seorang penjamin selain syarat perlu melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali dan tidak mengganggu saksi pendakwaan serta saksi.
Sebutan semula kes pada 6 Julai depan di Mahkamah Besut.
© New Straits Times Press (M) Bhd




