am@hmetro.com.my
Seremban: Sindiket pengedaran dadah antarabangsa dikesan menggunakan perairan Port Dickson untuk menyeludup dadah melalui jalan laut ke negara jiran menggunakan bot pancung.
Perkara itu dibongkar dalam dua serbuan di Kampung Kuala Lukut dan Tanjung Agas awal pagi semalam yang berjaya merampas dadah dianggarkan bernilai RM1.44 juta.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, operasi jam 3 pagi itu hasil risikan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Port Dickson dengan kerjasama Cawangan Khas Daerah Port Dickson dan Pasukan Polis Marin Wilayah 2.
“Dalam serbuan pertama, polis berjaya menahan dua lelaki warganegara Indonesia berusia 30 dan 34 tahun yang berada di dalam sebuah bot pancung di kawasan perairan Kampung Kuala Lukut.
“Hasil pemeriksaan ke atas bot itu menemui 10 bungkusan dadah disyaki syabu seberat 12 kilogram bernilai kira-kira RM600,000,” katanya pada sidang media, hari ini.
Beliau berkata, turut dirampas sebuah bot pancung tanpa nombor pendaftaran yang dipercayai digunakan dalam kegiatan berkenaan.
Tambah beliau, dalam operasi susulan, pihak polis mengesan sebuah kereta jenis Perodua Myvi di kawasan Tanjung Agas, sebelum pemandunya melarikan diri.
“Polis mengejar suspek sejauh kira-kira enam kilometer sehingga kereta dinaiki suspek terbabas di kawasan ladang kelapa sawit dekat Pengkalan Kempas, Linggi.
“Suspek bagaimanapun berjaya melarikan diri dan meninggalkan kenderaan berkenaan di lokasi kejadian.
“Pemeriksaan lanjut ke atas kereta itu kemudiannya menemui 12 bungkusan dadah disyaki syabu seberat 14.4 kilogram dianggarkan bernilai kira-kira RM744,000 serta seratus 100 kartrij cecair vape disyaki mengandungi ketamin bernilai kira-kira RM100,000,” katanya.
Alzafny berkata, hasil semakan mendapati suspek yang melarikan diri adalah seorang lelaki tempatan berusia 42 tahun dan mempunyai enam rekod lampau berkaitan kesalahan dadah.
Katanya, keseluruhan rampasan yang berjaya diperoleh dalam operasi ini dianggarkan bernilai RM1.44 juta.
Mengulas mengenai modus operandi sindiket, beliau berkata, dadah berkenaan dipercayai dari Kuala Lumpur dan lelaki yang melarikan diri berkenaan bertindak sebagai ‘transporter’.
“Ini kali pertama polis mengesan sindiket menggunakan perairan di Port Dickson untuk menghantar dadah ke Indonesia. Dua lelaki warga Indonesia yang ditahan bertindak sebagai penerima dan penghantar ke Dumai.
“Mereka menggunakan bot pancung dengan dua enjin berkuasa 200hp. Mereka boleh tiba di Dumai, Indonesia dalam masa dua ke dua jam 30 minit dengan menggunakan bot berkenaan.
“Difahamkan juga, transporter berkenaan mahu membuat penghantaran kedua sejurus selesai menghantar bahan terlarang itu kepada dua lelaki yang ditahan, namun tidak berjaya sebelum dikejar polis dan melarikan diri,” katanya.
Justeru kata beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Usaha mengesan dan menahan suspek yang masih bebas serta mengenal pasti rangkaian sindiket yang terbabit sedang giat dijalankan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




