Tiga beradik lari rumah selepas dilarang main Free Fire

Tiga beradik lari rumah selepas dilarang main Free Fire

SURAT – Tiga beradik bawah umur dilaporkan melarikan diri dari rumah selepas dipercayai tidak berpuas hati apabila bapa mereka merampas telefon bimbit yang digunakan untuk bermain permainan video dalam talian, Free Fire.

Memetik laporan India Today, kejadian berlaku pada 19 Mei lalu di Surat, Gujarat, India membabitkan seorang remaja lelaki berusia 14 tahun, adik lelakinya berusia 11 tahun dan adik perempuan mereka yang berusia sembilan tahun.

Menurut polis, ketiga-tiga kanak-kanak itu dipercayai keluar dari rumah pada awal pagi ketika ahli keluarga lain sedang tidur.

Mereka turut disyaki membawa wang tunai sebanyak 15,000 rupee (kira-kira RM750) sebelum meninggalkan kediaman.

Siasatan mendapati kanak-kanak terbabit dipercayai ketagih bermain permainan video popular Garena Free Fire menggunakan telefon bimbit milik bapa mereka.

Difahamkan, bapa mereka sebelum itu pulang ke kampung halaman dan secara tidak sengaja meninggalkan telefon bimbit berkenaan di rumah.

Sepanjang ketiadaannya, ketiga-tiga beradik itu didakwa menghabiskan banyak masa bermain permainan video menggunakan peranti tersebut.

Selepas kembali ke rumah, ibu mereka menyuarakan kebimbangan mengenai tabiat anak-anak yang semakin bergantung kepada permainan video.

Bagi mengawal keadaan itu, si bapa dilaporkan menanggalkan kad SIM daripada telefon bimbit berkenaan dan menguncinya di dalam almari tiga hari sebelum kejadian.

Tindakan tersebut dipercayai menyebabkan ketiga-tiga beradik itu bertindak melarikan diri.

Inspektor Polis, SD Rathod berkata, keluarga mangsa segera membuat laporan selepas menyedari kehilangan anak-anak mereka.

“Berdasarkan maklumat yang diterima, kanak-kanak terbabit banyak menghabiskan masa bermain permainan video di telefon bimbit.

“Bapa mereka telah menegur dan menasihati mereka mengenai perkara itu, namun dipercayai mereka mengambil teguran tersebut secara serius sebelum meninggalkan rumah bersama beberapa barangan peribadi dan wang tunai,” katanya.

Menurut beliau, lima pasukan polis telah digerakkan bagi mengesan ketiga-tiga kanak-kanak berkenaan.

“Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan siasatan awal, kami percaya mereka mungkin menaiki kereta api menuju ke Mumbai.

“Kami telah memperoleh beberapa petunjuk positif dan operasi mengesan mereka sedang dijalankan di beberapa lokasi yang dikenal pasti,” katanya.

Setakat ini, rakaman CCTV yang diperoleh menunjukkan ketiga-tiga kanak-kanak tersebut dipercayai berada dalam keadaan selamat.

 

Mesti Baca

Scroll to Top