Misi KRU mahu meremajakan industri kreatif

Misi KRU mahu meremajakan industri kreatif

puterialia@hmetro.com.my

Syarikat gergasi industri kreatif, KRU kini meletakkan fokus utama terhadap usaha meremajakan industri seni tempatan menerusi pencarian bakat baharu, khususnya bagi memenuhi keperluan di belakang tabir.

Presiden Lembaga Pemegang Amanah Yayasan KRU, Datuk Norman Abdul Halim berkata, inisiatif yang digerakkan bersama yayasan itu bertujuan melahirkan pelapis dalam pelbagai cabang penghasilan kandungan kreatif.

“Fokus kami bukan hanya dari sudut di depan kamera, tetapi juga mereka yang menggerakkan kerja di belakang tabir.

“Ia merangkumi penulis skrip, pengarah, pakar animasi, sehinggalah kepada pakar kesan khas visual (VFX),” katanya.

Menurut Norman, langkah itu penting bagi memastikan KRU sebagai sebuah syarikat yang kekal relevan dan maju ke hadapan, selain menjadi landasan untuk mereka kekal aktif dalam industri secara berterusan.

Katanya, industri kreatif tidak boleh hanya bergantung kepada formula lama atau kepakaran sedia ada memandangkan selera penonton sentiasa berubah mengikut peredaran zaman.

“Trend akan sentiasa berubah dan akan sentiasa ada generasi baharu yang mahukan cita rasa mereka sendiri dipenuhi. Jadi, ini adalah langkah yang amat penting untuk KRU,” katanya.

Bagaimanapun, Norman memberi jaminan bahawa lambakan bakat muda ini tidak akan meminggirkan karyawan senior mahupun penggiat seni sedia ada.

Sebaliknya, gabungan dua generasi ini memperkukuhkan lagi ekosistem industri hiburan tanah air menerusi perkongsian pengalaman.

Lantaran itu KRU tampil bersama perancangan jangka panjang bagi memastikan tidak terus ketinggalan dalam memenuhi kehendak generasi masa kini.

Kata Norman lagi, penggiat seni veteran sebenarnya boleh memainkan peranan penting di belakang tabir bagi memberi laluan kepada pelapis baharu yang lebih memahami trend semasa.

“Orang lama boleh bermain di belakang tabir. Saya bagi contoh Datuk Yusof Haslam, dia sedar akan perkara itu. Saya pernah cakap padanya, ‘Datuk, buatlah filem baru ke apa ke.’ Dia kata, ‘Tidak. Waktu saya dah habis. Ini masa anak-anak saya.’

“Sedar tidak sedar, saya, Yusry dan Edry semuanya sudah berada dalam lingkungan usia 40-an dan 50-an,” kongsinya.

Mengimbas kembali pembabitan awal mereka, Norman berkongsi bahawa dia memulakan langkah dalam industri kreatif ketika berusia 20 tahun, manakala Yusry berusia 19 tahun dan Edry seawal usia 16 tahun.

“Jadi, saya sedar bahawa proses kami dan cita rasa kami mungkin sesuai untuk satu kelompok sahaja. Namun, bagi generasi muda sekarang, terutama Gen (generasi) Z dan Alpha, saya rasa cita rasa mereka beralih arah ke satu sudut yang lain.

“Kebiasaannya pendengar, penonton dan peminat industri kreatif yang aktif menonton filem serta mendengar muzik adalah dalam kalangan mereka yang muda.

“Jadi, kalau kita tidak meremajakan industri dan tidak meremajakan KRU, saya rasa kita akan ketinggalan,” kongsi Norman sambil menyifatkan perancangan untuk menerbitkan lagu mahupun filem tetap ada.

Katanya, fokus syarikat kini terarah kepada membina asas perniagaan yang lebih kukuh dan stabil terlebih dahulu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top