'Mungkin Nur Hafiz pula akan menewaskan Datuk Onn Hafiz' – Calon PH bagi kerusi Machap

'Mungkin Nur Hafiz pula akan menewaskan Datuk Onn Hafiz' –  Calon PH bagi kerusi Machap

Kluang: Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap, Nur Hafiz Roslan menyatakan tidak gentar berhadapan dengan penyandang kerusi yang juga Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

Beliau yang mempunyai pengalaman selama 18 tahun dalam bidang guaman berkata, status kawasan itu yang sering dilabel sebagai kubu kuat Barisan Nasional (BN) tidak menghalangnya untuk menawarkan khidmat terbaik demi kemakmuran rakyat setempat.

“Sejarah membuktikan tiada apa yang mustahil dalam politik. Mantan Menteri Besar Johor seperti Tan Sri Abdul Ghani Othman dan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin juga pernah tewas sebelum ini.

“Mungkin selepas ini, Nur Hafiz pula yang akan menewaskan Datuk Onn Hafiz. Apa pun, kami akan persembah dan tawarkan yang terbaik untuk pengundi,” katanya dalam satu temu bual bersama Bernama di Bilik Gerakan Utama PH DUN N26 Machap, di Simpang Renggam di sini, hari ini.

Nur Hafiz berkata, jentera PH berada dalam keadaan paling stabil, tersusun dan bebas daripada sebarang pertembungan dalaman sejak dari peringkat awal proses penamaan calon.

Mengenai landskap politik semasa, beliau menegaskan komitmen untuk menolak budaya politik persepsi, momokan serta eksploitasi sentimen 3R (raja, agama dan kaum) yang disifatkannya sebagai pendekatan lapuk yang tidak sepatutnya wujud lagi pada 2026.

“Sampai bila kita hendak dimomokkan dengan ketakutan antara bangsa Melayu, Cina, dan India?

“Fokus saya ialah membawa politik matang yang lebih ke hadapan berkenaan dengan polisi serta penyelesaian isu-isu domestik masyarakat,” katanya.

Beliau turut menyatakan hasrat untuk bertindak sebagai “jambatan” yang efektif antara kerajaan negeri dan Persekutuan bagi memastikan setiap permasalahan rakyat di DUN Machap dapat disuarakan dengan adil tanpa mengira latar belakang kaum.

Saingan di DUN Machap menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Nur Hafiz dengan calon BN Onn Hafiz.

PRN Johor akan berlangsung 11 Julai ini, manakala pengundian awal pada 7 Julai.

N26: MACHAP – 35,206 pengundi

1. Nur Hafiz Roslan (PH-AMANAH)

2. Datuk Onn Hafiz Ghazi (BN-UMNO)

(2022: Datuk Onn Hafiz Ghazi : BN-UMNO: Maj: 6,543)

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top