nfazlina@nstp.com.my
Kota Bharu: ‘Ketika kejadian saya tertidur selepas kami berhenti makan, namun hanya tersedar sebaik kereta meletup secara tiba-tiba”.
Itu kata Abdullah Syarapi Abd Rahman, 45, salah seorang rakyat Malaysia yang cedera dalam kejadian letupan bom di Tak Bai, pagi semalam.
Abdullah Syarapi berkata, ketika kejadian dia bersama rakannya, Muhammad Yusri Udin, 38, dalam perjalanan pulang ke Malaysia.
“Kami pergi ke Narathiwat untuk makan-makan dan bermalam di sana, kejadian berlaku ketika kami dalam perjalanan untuk pulang.
“Sebelum kejadian kami sempat singgah makan dan saya tertidur kerana kekenyangan sebelum dikejutkan dengan letupan bom.
“Alhamdulillah kami selamat dan masih terkejut dengan apa yang berlaku,” katanya ketika ditemui di Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ II) di sini, hari ini.
Pada masa sama, beliau turut merakamkan penghargaan terhadap kerajaan Thailand yang banyak membantu dan memudahkan urusan mereka.
“Kerajaan Thailand sangat baik kerana mahu memberi rawatan sehingga kami sembuh.
“Namun memikirkan urusan kerja, saya minta dibawa pulang ke Malaysia untuk menerima rawatan di sini,” katanya yang keluarganya sudah dimaklumkan mengenai kejadian itu.
Dalam kejadian jam 11.40 pagi waktu Thailand, dua rakyat Malaysia cedera selepas sebutir bom meletup di bawah sebuah pembetung di sepanjang Lebuh Raya 42 di Kampung Phrai Wan, berhampiran daerah kecil Tak Bai.
Mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Narathiwat sebelum dipindahkan ke HRPZ II pagi ini.
Susulan kejadian itu, polis Thailand memaklumkan letupan bom semalam sebenarnya tidak menyasarkan mangsa, sebaliknya sebuah lagi kenderaan yang melalui laluan sama.
Komander Polis Wilayah Narathiwat, Mejar Jeneral Prayong Kotsakha dilaporkan berkata, siasatan pihak berkuasa Thailand mendapati alat letupan buatan sendiri (IED) itu dipasang untuk menyasarkan sebuah kenderaan lain.
© New Straits Times Press (M) Bhd




