Harga durian premium mungkin naik minggu depan

Harga durian premium mungkin naik minggu depan

razis@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Peniaga menjangkakan harga durian premium, antaranya Musang King dan Duri Hitam akan meningkat bermula minggu hadapan susulan bekalan dari beberapa negeri yang semakin berkurangan.

Beberapa peniaga menyifatkan perubahan harga itu biasa bagi pasaran yang bergantung kepada permintaan dan penawaran.

Ketika ini harga bagi durian Musang King, Duri Hitam, Udang Merah dan IOI masih dianggap murah iaitu antara RM15 hingga RM25 sekilogram, berdasarkan tinjauan dilakukan Harian Metro semalam.

Durian serendah RM5 sebiji juga masih boleh didapati, namun dijual dalam kuantiti yang terhad.

Pemilik Rizky Durian, Romi Hidayat Zainintawa, 34, berkata, selepas hampir sedekad menceburi perniagaan durian, musim ini dilihat berbeza berbanding tahun sebelumnya berikutan lambakan bekalan akibat pengeluaran buah serentak.

“Ketika ini lambakan durian masih berlaku. Bagaimanapun, bermula minggu depan bekalan dijangka mula berkurangan kerana musim durian sudah hampir ke penghujung.

“Saya jangka harga durian premium akan meningkat sekitar 10 hingga 20 peratus minggu depan. Namun, kenaikan itu hanya membabitkan varieti tertentu berikutan bekalannya semakin berkurangan,” katanya yang sudah berniaga sejak 2017.

Menurutnya, harga durian gred biasa pula dijangka kekal rendah kerana bekalannya masih banyak di pasaran.

“Walaupun harga durian premium dijangka meningkat, orang ramai masih boleh membelinya pada harga yang berpatutan, manakala durian gred biasa masih murah,” katanya.

Berpandangan sama, peniaga durian di Taman Medan, Hazlan Tampong, 43, berkata, bekalan raja buah dari beberapa negeri seperti Johor dan Pahang semakin berkurangan.

Bagaimanapun katanya, bekalan dari Perak, khususnya durian kampung dan kahwin masih banyak di pasaran kerana buahnya yang mulai gugur sejak minggu lalu.

“Kalau nak makan, sekarang adalah masa yang sesuai. Minggu depan kemungkinan bekalan durian premium semakin berkurangan dan harga mula meningkat kerana bekalannya semakin sedikit,” katanya.

Dia berkata, perubahan harga banyak dipengaruhi keadaan pasaran apabila pembekal akan menaikkan harga sekiranya bekalan berkurangan.

“Setakat ini saya masih mengekalkan harga mampu dibeli pelanggan kerana percaya sokongan pengguna adalah faktor utama yang membolehkan perniagaan terus bertahan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top