Istanbul: Fenerbahce mengumumkan pembelian penyerang England, Mason Greenwood, daripada Olympique Marseille dengan nilai perpindahan €39 juta (RM223 juta).
Kelab Turkiye itu memaklumkan persetujuan dicapai bersama pemain berusia 24 tahun berkenaan dan Marseille, dengan bayaran perpindahan akan dijelaskan menerusi tiga ansuran tahunan dalam tempoh tiga tahun.
Fenerbahce turut akan menanggung sebarang bayaran solidariti yang ditetapkan mengikut peraturan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Greenwood menyertai Marseille dari Manchester United pada Julai 2024 menerusi kontrak lima tahun selepas menamatkan hubungannya bersama kelab Liga Perdana Inggeris itu.
Fenerbahce berharap Greenwood mampu memperkuat jentera serangan pasukan ketika mereka memburu kejuaraan Liga Super Turkiye buat kali pertama sejak 2014.
Sepanjang dua musim bersama Marseille, Greenwood meledak 37 gol liga dalam 66 penampilan, sekali gus membuktikan ketajamannya sebagai antara penyerang paling berbahaya di Ligue 1.
© New Straits Times Press (M) Bhd




